Yamaha MT-125 2023 baru saja diperkenalkan di pasaran Eropah, dan ianya kekal dengan tiga pilihan warna Cyan Storm, Icon Blue dan Tech Black. Namun berita baiknya ialah model itu kini telah dilengkapi tiga naik taraf terkini iaitu panel meter TFT 5.0 inci berwarna sepenuhnya, sistem sambungan ke telefon pintar menggunakan aplikasi MyRide, dan Traction Control System (TCS).
Beralih ke spesifikasi yang lain, Yamaha MT-125 2023 masih dikuasakan enjin bersesaran 125cc (Liquid-cooled, SOHC, Single cylinder, 4-stroke, VVA), dan dipadankan sistem transmisi enam kelajuan dengan Assist & Slipper Clutch. Enjin yang bertaraf Euro 5 itu menjana kuasa maksimum sehingga 15PS (11kW) @ 10,000rpm, dengan keluaran tork maksimum 11.5 Nm @ 8,000rpm.
Yamaha MT-125 mempunyai reka bentuk yang sporty, dilengkapi lampu depan LED yang agresif, dibangunkan di atas rangka Deltabox dengan lengan ayun aluminium, fork depan USD 41 mm dan suspensi belakang monoshock, dan model tersebut turut dilengkapi sistem brek cakera depan 292 mm dengan radial-mount caliper, brek cakera belakang 292 mm, dan termasuklah sistem ABS.
Di bahagian roda, jentera naked yang lincah itu menggunakan rim mengikut pilihan warna model, dengan tayar depan dan belakang dalam saiz 100/80-17 dan 140/70-17. Tinggi tempat duduknya mencapai 810 mm, dengan jarak kelegaan bumi 160 mm. Dengan tangki bahan api 11 liter, berat keseluruhan Yamaha MT-125 2023 berada pada paras 142 kg (including full oil and fuel tank).
Untuk pasaran Malaysia, Yamaha menawarkan model Yamaha MT-15 2022, yang baru saja menerima kemaskini warna baharu pada bulan Jun 2022 yang lalu. Harga jualan asasnya ialah RM 12,298.00. Antara perbezaan Yamaha MT-125 dan Yamaha MT-15 ialah kapasiti enjin, brek cakera depan, sistem ABS, tempat pemijak kaki, rekaan mudguard depan, dan rekaan rim roda.