Bajaj Dominar 400 Touring Extreme Edition 2022 dilancarkan di pasaran Thailand

Pengedar motosikal berjenama Bajaj di pasaran Thailand, Vroom Co., Ltd. pada beberapa hari yang lepas telah melancarkan model Bajaj Dominar 400 Touring Extreme Edition 2022, dengan harga sebanyak THB 149,000, bersamaan RM 18,499.88 berdasarkan nilai mata wang semasa. Dua pilihan warna ditawarkan untuk model tersebut iaitu Emerald Green dan Tarmac Black.

Bajaj Dominar 400 Touring Extreme Edition 2022 diasaskan daripada model Bajaj Dominar 400 versi standard, namun ianya kini dilengkapi dengan pelbagai aksesori touring asli serba lengkap yang disediakan khusus oleh Bajaj. Pakej aksesori asli itu merangkumi Hand Guard, Navigation Stay, Tall Visor, Leg Guard, Engine Bash Plate, Saddle Stay, dan Carrier + Backstopper.

Melalui naik taraf terkini dengan pemasangan pelbagai aksesori asli yang menarik itu, Bajaj Dominar 400 Touring Extreme Edition 2022 kini lebih praktikal untuk aktiviti tunggangan touring jarak jauh. Aspek spesifikasi teknikal dan ciri-ciri yang lain bagaimanapun kekal sama dan tiada perubahan, termasuklah enjin 373.3cc (Single cylinder, DOHC, Liquid cooled, Triple Spark, FI).

Enjin yang berkuasa itu dipadankan transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch, dengan kuasa maksimum 40PS @ 8,800rpm dan tork maksimum 35Nm @ 6,500rpm. Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti 13 liter. Selain itu ialah fork depan USD, sistem brek cakera dengan ABS dual-channel, muffler ekzos berkembar, sistem lampu LED dan panel meter digital LCD.