Kelmarin, Kawasaki Motors Enterprise (Thailand) Co.,Ltd. secara rasminya melancarkan model sport bike Kawasaki Ninja ZX-25R 2023 terbaharu untuk pasaran Thailand. Hanya satu varian sahaja ditawarkan buat masa ini iaitu varian yang dilengkapi dengan sistem ABS dan KQS (Kawasaki Quick Shifter), sama seperti varian ABS SE yang ditawarkan di pasaran Indonesia.
Untuk pasaran Thailand, Kawasaki tidak menawarkan Ninja ZX-25R dalam varian Standard seperti di pasaran Indonesia. Bagi varian teratas yang baru saja diperkenalkan di pasaran Indonesia iaitu Kawasaki Ninja ZX-25RR 2023 pula, setakat ini belum ada maklumat rasmi sama ada varian tersebut akan turut diperkenalkan di pasaran Thailand pada masa akan datang.
Untuk makluman anda juga, Kawasaki Ninja ZX-25R 2023 di pasaran Thailand tampil dalam skim warna tunggal Lime Green / Ebony (KRT Edition), sedangkan di pasaran Indonesia, skim warna itu hanya eksklusif untuk varian teratas Ninja ZX-25RR. Setakat ini melalui pemerhatian di laman sesawang Kawasaki Thailand, Ninja ZX-25R 2022 dalam pilihan warna lain masih ditawarkan.
Sama seperti di pasaran Indonesia, Kawasaki Ninja ZX-25R 2023 di pasaran Thailand kini tampil dengan beberapa ciri terkini yang lebih menarik iaitu panel instrumen baharu TFT dengan ciri Circuit Mode, sistem sambungan ke telefon pintar dengan aplikasi RIDEOLOGI, sistem lampu LED sepenuhnya, dan rekaan terbaharu sistem ekzos yang lebih sporty berbanding model terdahulu.
Beralih ke bahagian spesifikasi teknikalnya, Kawasaki Ninja ZX-25R 2023 di pasaran Thailand kekal dikuasakan enjin bersesaran 249.8cc dengan teknologi empat silinder sebaris (liquid-cooled, 4-stroke in-line four, DOHC, 16 valves). Hamburan kuasanya mencapai 51PS @ 15,500rpm (dengan Ram Air) (50PS tanpa Ram Air), dengan tork maksimum 22.9Nm @ 14,500rpm.
Model itu seterusnya dilengkapi Assist & Slipper Clutch, KTRC (Kawasaki Traction Control), Power Mode Selection, Centre Ram Air System dan juga Electronic Throttle Valves. Sistem suspensinya merupakan fork depan USD 37 mm SFF-BP (Separate Function Fork – Big Piston), bergandingan dengan suspensi belakang monoshock Horizontal Back-Link dengan ciri pelarasan prabeban.
Di bahagian brek, ianya terdiri daripada cakera depan 310 mm dengan gabungan “radial-mount monobloc caliper”, yang kemudiannya digandingkan bersama-sama sistem brek belakang dengan cakera berdiameter 220 mm. Tahap pengendalian maksimum jentera sport bike itu seterusnya disempurnakan oleh tayar depan dan belakang dalam siri 110/70-R17 dan 150/60-R17.
Untuk pasaran Thailand, Kawasaki Ninja ZX-25R 2023 dengan ketinggian tempat duduk 785 mm dan berat keseluruhan 184 kg (curb mass) itu ditawarkan dengan harga jualan sebanyak THB 299,000, bersamaan nilai RM 37,706.07. Untuk pasaran Malaysia, model ini akan dibawa masuk pada tahun depan oleh Modenas, dengan jangkaan harga yang dijangka pada kadar yang sama.
Artikel berkaitan ;
- Kawasaki Ninja ZX-25R 2023 rasmi dilancarkan di pasaran Indonesia, harga bermula dari RM 31,833.97
- Kawasaki Ninja ZX-25RR 2023 rasmi dilancarkan di pasaran Indonesia, harga jualan bersamaan RM 39,413.06