Yamaha baru-baru ini telah memperkenalkan model skuter terbaharu Yamaha Jog 125 2023, khusus untuk pasaran domestik Jepun. Boleh didapati dalam empat pilihan warna menarik, harga jualannya adalah sebanyak 255,200 Yen, bersamaan nilai RM 8,066.62 mengikut kadar semasa.
Antara kelebihan Yamaha Jog 125 ini ialah ianya dilengkapi enjin Blue Core bersesaran 124cc (Air-cooled, 4-stroke, SOHC, 2-valve) yang dipadankan dengan transmisi automatik. Enjin yang ekonomi dan menawarkan pecutan lancar itu menghasilkan kuasa maksimum 8.3PS @ 7,000rpm, dengan tork maksimum 9.8Nm @ 5,000rpm.
Yamaha Jog 125 seterusnya dilengkapi tangki bahan api 4.0 liter, enjin dengan kelengkapan “Smart Motor Generator”, ruang storan depan yang boleh mengisi botol air 600ml, pengecas USB untuk kemudahan mengecas telefon, dan ruang barangan di bawah tempat duduk seluas 21.3 liter yang boleh memuatkan helmet.
Selain itu, Yamaha Jog 125 turut dilengkapi sistem brek UBS (Unified Brake System) yang mantap, manakala saiz tayar hadir dalam siri 90/90-10 depan dan belakang. Dengan tinggi tempat duduk 735 mm dan berat hanya 95 kg pula, Yamaha Jog 125 menawarkan pengendalian yang begitu mudah.
Dari segi reka bentuk, ianya menawarkan penampilan yang sederhana namun sporty, termasuklah lampu belakangnya yang menggunakan bahasa rekaan terkini Yamaha yang moden. Adakah Yamaha Jog 125 ini mempunyai nilai pasaran jika ianya turut dilancarkan di pasaran Malaysia?