Laman Facebook Vietnam Suzuki Motorcycles kelmarin telah menyiarkan video teaser mengenai penampilan baharu Suzuki Raider R150, yang hanya akan didedahkan secara rasmi pada tarikh 17hb. Oktober 2022. Adakah penampilan baharu itu nanti akan melibatkan rekaan baharu reka bentuk badannya, atau hanya sekadar perubahan warna dan grafik seperti kebiasaannya?
Atau mungkin juga Suzuki Raider R150 2023 itu akan menerima rekaan facelift terkini yang lebih sporty dan agresif, termasuk enjin dengan kapasiti yang lebih besar dan lebih berkuasa, seperti mana khabar angin di dalam artikel ini? Suzuki Raider R150 merupakan sebuah model moped 150cc berkelajuan tinggi yang ketika ini dijual di beberapa pasaran ASEAN termasuk Malaysia.
Namun begitu berbanding model-model moped yang lain terutamanya keluaran Yamaha, Honda dan SYM, reka bentuk Suzuki Raider R150 boleh dikatakan agak ketinggalan. Kini mungkin sudah tiba masanya model tersebut menerima penampilan baharu yang lebih moden dan lebih canggih. Untuk jawapannya, kita nantikan pelancarannya di pasaran Vietnam pada hari Isnin akan datang.