Ducati Scrambler Urban Motard 2022 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga asas RM 68,900.00

Untuk pasaran tempatan, Ducati Malaysia pada bulan Jun yang lepas turut melancarkan model terbaharu Ducati Scrambler Urban Motard 2022, dengan harga asas RM 68,900.00. Model itu tampil dengan satu skim warna sahaja iaitu Star White Silk dan Ducati GP ’19 Red, dengan grafik di tangki bahan api yang diinspirasikan oleh ‘the world of street art and metropolitan graffiti’.

Ducati Scrambler Urban Motard dilengkapi enjin 803cc (L-Twin, Desmodromic distribution, 2 valves per cylinder, air cooled), dengan kuasa maksimum 73hp @ 8,250rpm dan tork setinggi 66.2Nm @ 5,750rpm, seterusnya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan bersama-sama muffler ekzos berkembar. Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti maksimum 13.5 liter.

Untuk prestasi pengendalian terbaik, tugasan itu disempurnakan oleh fork depan jenis terbalik 41 mm dan suspensi belakang tunggal (pre-load adjustable), kedua-duanya dibekalkan oleh Kayaba. Sistem brek daripada Brembo pula menggabungkan cakera depan tunggal 330 mm (radial 4-piston calliper) dan cakera belakang 245 mm, dengan ABS cornering sebagai ciri standardnya.

Selain itu, Ducati Scrambler Urban Motard yang lincah ini turut dilengkapi sistem lampu LED sepenuhnya dengan lampu depan DRL, panel meter digital LCD berbentuk bulat yang minimalis di bahagian kokpit, dan kemudahan soket pengecas USB di bawah tempat duduknya. Ketinggian tempat duduk mencapai 805 mm, manakala berat keseluruhannya ialah 196 kg (kerb weight).

Ciri-ciri menarik lain pada model tersebut termasuklah rim berjejari (spoked aluminium wheel) yang dibalut tayar Pirelli Diablo Rosso III dalam siri 120/70-ZR17 (depan) dan 180/55-ZR17 (belakang), tempat duduk rata untuk tunggangan yang lebih dinamik, mudguard depan pada posisi yang lebih tinggi untuk dunia motard sebenar, dan juga pemasangan nombor plat pada bahagian sisinya.