Pada bulan Jun yang lepas, Ducati Malaysia dengan rasminya memperkenalkan sebuah model istimewa iaitu Ducati Panigale V2 Bayliss 1st Championship 20th Anniversary, dengan harga jualannya ditetapkan sebanyak RM 136,900.00. Model tersebut sebelum ini diperkenalkan di pentas antarabangsa buat pertama kali pada bulan Julai 2021, sebagai model edisi terhad.
Untuk makluman, Ducati Panigale V2 Bayliss 1st Championship 20th Anniversary ini merupakan sebuah model yang memberi penghormatan kepada pelumba legenda yang berasal dari Australia iaitu Troy Bayliss. Bersama-sama Bayliss, Ducati telah memenangi kejuaraan dunia pertama pada tahun 2001 dalam perlumbaan WSBK, dengan menggunakan jentera Ducati 996 R twin-cylinder.
Ducati Panigale V2 Bayliss 1st Championship 20th Anniversary diasaskan daripada model Ducati Panigale V2, yang kini tampil dengan jalur warna dan grafik istimewa, diinspirasikan daripada jentera perlumbaan Ducati 996 R yang menjadi juara pada tahun 2001. Warna merah sebagai warna utamanya, dan disertai warna hijau dan putih sebagai penghormatan kepada bendera Itali.
Model tersebut seterusnya menerima pelekat nombor perlumbaan ikonik #21, merujuk kepada nombor perlumbaan Bayliss, bersama-sama logo syarikat Shell sebagai rakan kerjasama rapat. Tandatangan Bayliss kemudiannya dibuat semula di atas tangki petrol. Sementara itu, pada billet aluminium triple clamp pula tertera nama model dan juga nombor siri pemilikan yang eksklusif.
Bagi menjadikan Ducati Panigale V2 Bayliss 1st Championship 20th Anniversary lebih efektif sewaktu beraksi di litar, Ducati telah memasang sistem suspensi berprestasi tinggi daripada Öhlins, yang merangkumi fork depan NX30 dan penyerap hentak belakang TTX36. Turut terpasang ialah steereng damper yang boleh dilaraskan mengikut kesesuaian tunggangan.
Berbanding model standard, Ducati Panigale V2 Bayliss 1st Championship 20th Anniversary kini 3 kg lebih ringan, terima kasih kepada penggunaan bateri lithium-ion dan pemilihan tempat duduk tunggal. Akhir sekali, aspek prestasi memperlihatkan jentera istimewa itu dikuasakan enjin 955cc Superquadro twin-cylinder bertaraf Euro 5, yang menjana sehingga 155hp dengan tork 104Nm.