Kawasaki W175TR SE 2023 melengkapkan barisan model W175 di pasaran Indonesia

Selain daripada dua model retro klasik Kawasaki W175 SE 2023 dan Kawasaki W175 Cafe 2023, sebuah lagi model turut ditawarkan di pasaran Indonesia iaitu Kawasaki W175TR SE 2023. Tampil dengan pilihan warna tunggal Lime Green, model berkenaan menawarkan sebuah jentera yang bergaya scrambler atau street tracker, untuk aksi tunggangan yang lebih lincah dan agresif.

Kawasaki W175TR SE 2023 mempunyai ketinggian tempat duduk 805 mm, manakala jarak kelegaan tanahnya ialah 195 mm. Namun kapasiti tangki bahan apinya menurun kepada 7.5 liter berbanding 14 liter pada model W175 SE dan W175 Cafe, begitu juga dengan beratnya kini hanya 121 kg (curb weight). Saiz tayar kekal sama 80/100-R17 (depan) dan 100/90-R17 (belakang).

Spesifikasi lainnya termasuklah fork depan teleskopik 30 mm, supensi belakang jenis berkembar (adjustable spring preload), brek cakera depan 220 mm dengan kaliper dua piston, dan brek dram belakang 110 mm. Enjinnya bersesaran 177cc (Air-cooled, 4-stroke, SOHC, 2 valves) dengan transmisi 5-kelajuan, dengan kuasa maksimum 13PS @ 7,500rpm dan tork 13.6Nm @ 6,000rpm.

Untuk pasaran Indonesia, harga jualan yang ditawarkan untuk Kawasaki W175TR SE 2023 adalah sebanyak Rp. 33,400,000, bersamaan nilai RM 10,210.39 mengikut kadar semasa. Pasti sangat menarik jika ianya turut dilancarkan di pasaran Malaysia, namun setakat ini dikhabarkan Kawasaki atau Modenas belum merancang untuk melancarkan mana-mana model dalam siri W175.