Di pasaran Malaysia, Honda Rebel 2022 diperkenalkan secara rasmi pada penghujung tahun lepas, dengan harga jualan asas sebanyak RM 32,899.00. Sementara itu di pasaran Eropah, model bergaya cruiser itu dikenali dengan nama Honda CMX500 Rebel, kini tampil dalam pilihan dua varian standard dan S Edition dengan beberapa pilihan warna baharu untuk musim 2023.
Bagi varian standard, Honda CMX500 Rebel 2023 kini telah menerima tiga pilihan warna terbaharu iaitu Mat Gunpowder Black Metallic, Pearl Smoky Gray dan Candy Diesel Red. Bagi varian S Edition, satu pilihan warna tunggal yang ditawarkan ialah Titanium Metallic, di samping turut dilengkapi aksesori menarik seperti cowl lampu depan, cover fork depan berwarna hitam sepenuhnya, dan tempat duduk dengan gaya jahitan berlian.
Honda CMX500 Rebel 2023 untuk pasaran Eropah setakat ini masih mengekalkan spesifikasi teknikal yang sama, antaranya dikuasakan enjin bersesaran 471cc (Liquid-Cooled, 4-Stroke, DOHC Twin Cylinders, PGM-FI), yang kemudiannya dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan Assist & Slipper Clutch. Jumlah keluaran kuasanya mencapai 45.6hp @ 8,500rpm dan tork maksimum 43.3Nm @ 6,000rpm. Kapasiti maksimum tangki bahan apinya ialah 11.2 liter.
Honda CMX500 Rebel seterusnya dilengkapi panel meter digital dalam gaya klasik berbentuk bulat dengan penunjuk gear, sistem lampu LED sepenuhnya, fork depan teleskopik, penyerap hentak belakang berkembar Showa (5 step preload), sistem brek ABS Dual Channel, tayar depan dan belakang masing-masing bersaiz 130/90-R16 dan 150/80-R16, ketinggian tempat duduk hanya 690 mm, jarak kelegaan tanah 125 mm, dan berat 191 kg (kerb weight).