Pada bulan Jun 2022 yang lepas, Ducati Malaysia dengan rasminya melancarkan model Ducati Streetfighter V4 SP 2022 terbaharu, dengan harga jualan asas RM 239,900.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Model tersebut merupakan pilihan terbaharu selepas model Ducati Streetfighter V4 dan Streetfighter V4 S, yang dilancarkan pada bulan Oktober 2020.
Menurut Ducati, huruf SP merujuk kepada ‘Sport Production’, dan jentera naked berprestasi tinggi itu hanya ditawarkan dalam jumlah terhad dan tampil eksklusif dengan skim warna mirip jentera Ducati Corse dalam ujian pra-musim MotoGP dan WSBK. Model itu turut menampilkan kemasan karbon, jalur merah yang terang, tangki brushed aluminum yang berkilau, termasuklah nombor siri yang dicetak di atas handlebar dan skim warna bendera Itali di atas sayap karbon (carbon wings).
Untuk pasaran Malaysia, Streetfighter V4 SP didatangkan dengan rim roda forged magnesium Marchesini, dan bukannya rim roda karbon. Rim karbon tetap ditawarkan oleh Ducati Malaysia, dengan kos tambahan kira-kira RM 50k. Sistem suspensi depan dan belakang daripada Öhlins mempunyai ciri boleh laras elektronik sepenuhnya, termasuklah steering damper elektronik Öhlins.
Melengkapkan sistem brek berprestasi tinggi pada Streetfighter V4 SP ialah kaliper brek Brembo Stylema R, yang pada bila-bila masa boleh digunakan untuk aksi agresif di litar. Di bahagian enjin, ianya merupakan Desmosedici Stradale 1,103cc V4 yang patuh piawaian Euro 5, dengan kuasa maksimum 208hp @ 12,750rpm dan tork maksimum 123Nm @ 9,500rpm. Enjin itu dipadankan dengan klac kering STM-EVO SBK dan transmisi enam kelajuan dengan Ducati Quick Shift (DQS).
Selanjutnya ialah Ducati Streetfighter V4 SP 2022 turut dilengkapi sistem Bosch Cornering ABS EVO, panel digital TFT bersaiz 5.0 inci, sistem lampu LED sepenuhnya dengan DRL (Daytime Running Light), tayar depan dan belakang dalam ukuran masing-masing 120/70-ZR17 dan 200/60-ZR17, tempat duduk tunggal dengan ketinggian 845 mm, dan kapasiti tangki bahan api 16 liter.
Melengkapkan lagi spesifikasinya termasuklah Riding Modes, Power Modes, Ducati Traction Control (DTC) EVO 2, Ducati Wheelie Control (DWC) EVO, Ducati Slide Control (DSC), Engine Brake Control (EBC) EVO dan Ducati Power Launch (DPL). Penggunaan material karbon pula meliputi mudguard depan, sayap dan pelindung tumit pada footpegs aluminium boleh laras.