Yamaha NVX 2022 terima kemaskini warna baharu untuk pasaran Malaysia

Model skuter Yamaha NVX 2021 secara rasminya dilancarkan di pasaran Malaysia pada bulan April 2021 yang lalu, dengan beberapa perubahan dan naik taraf terkini yang lebih menarik. Terkini model skuter dengan enjin 155cc VVA itu bakal diperkenalkan oleh pengedarnya HLYM dalam beberapa pilihan warna terbaharu tidak lama lagi, untuk kedua-dua versi Standard dan ABS.

Bagaimanapun sebelum sempat model terbaharu versi tahun 2022 itu diperkenalkan oleh HLYM, skuter tersebut telah pun sampai di beberapa pusat wakil pengedar HLYM. Berdasarkan gambar-gambar yang tular di dalam laman Facebook sejak kelmarin, varian Standard kini ditawarkan dua pilihan warna terbaharu kelabu dan hijau, manakala varian ABS terdapat pilihan warna gabungan putih dan biru. Dipercayai varian ABS akan mempunyai satu lagi pilihan warna terbaharu.

Namun apa yang mungkin kurang enak didengar ialah harga jualan asas untuk Yamaha NVX 2022 bagi kedua-dua varian Standard dan ABS bakal dinaikkan, namun setakat ini maklumat tersebut masih belum dapat disahkan. Oleh itu kita tunggu sahaja pelancaran rasminya tidak lama lagi. Atau anda mungkin boleh melihat sendiri model tersebut di wakil pengedar yang berdekatan.

Sumber : Tiga-S Motorsikal SDN BHD FB & Ezmotorsports | Ejad Movi