Kawasaki Z125 Pro 2023 kini tampil dengan tiga warna terbaharu untuk pasaran USA, harga $3,399.00

Model kompak Kawasaki Z125 Pro 2023 baru saja diperkenalkan di pasaran USA, kini tampil dengan tiga pilihan warna terbaharu iaitu Pearl Matte Sage Green, Firecracker Red dan Metallic Ocean Blue. Harga jualan yang ditawarkan pula adalah sebanyak $3,399.00, bersamaan nilai sebanyak RM 15,762.86 mengikut kadar tukaran mata wang semasa.

Kita imbas kembali spesifikasinya, Kawasaki Z125 Pro dikuasakan enjin bersesaran 125cc (4-stroke, 1 cylinder, SOHC, 2-valve, air-cooled), yang kemudiannya dipadankan kotak gear empat kelajuan. Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 9.7PS @ 8,000rpm dengan tork puncak 9.6Nm @ 6,000rpm. Tangki bahan apinya menawarkan kapasiti maksimum 7.4 liter.

Selanjutnya model lincah tersebut dilengkapi fork depan jenis upside-down berwarna keemasan, suspensi belakang monoshock, brek cakera depan (200 mm petal-style disc) dan brek cakera belakang (184 mm petal-style disc), ukuran tayar 100/90-12 (depan) dan 120/70-12 (belakang), tempat duduk 780 mm, jarak kelegaan bumi 155 mm, dan berat hanya 101 kg (curb weight).

Di pasaran Malaysia, Kawasaki Z125 Pro masih lagi ditawarkan, namun ianya merupakan stok lama yang kini berada dalam jumlah unit terhad. Berdasarkan pemerhatian di dalam laman jual beli popular Mudah.my, harga yang ditawarkan berada dalam lingkungan RM 9,500.00. Mungkin selepas ini versi terbaharu Kawasaki Z125 Pro ini akan ditawarkan semula oleh Modenas.