Brixton Cromwell 1200 bakal dilancarkan untuk pasaran Malaysia oleh MForce, anggaran harga RM 50k

Baru-baru ini pada tarikh 25hb. September 2022, MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. telah merasmikan majlis pembukaan MForce SmartShop S H Bikers Sdn. Bhd., yang beralamat di No. 15 & No. 17, Jalan PSK 9, Pusat Perdagangan Seri Kembangan, 43300, Seri Kembangan, Selangor. Bersempena dengan majlis itu, MForce juga telah mempertontonkan sebuah model terbaharu Brixton Cromwell 1200, yang bakal dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi. Namun setakat ini tarikh pelancaran rasminya masih belum diumumkan oleh MForce.

Anggaran harga jualan untuk model tersebut dikatakan sekitar RM 50k, boleh dikatakan berpatutan dan kompetetif. Brixton Cromwell 1200 menawarkan reka bentuk bergaya retro yang pastinya akan menarik minat ramai penggemar model-model motosikal dalam segmen tersebut. Kapasiti enjin yang melengkapinya juga adalah sangat memuaskan, iaitu 1,222cc (in-line, 2 cylinder, 4-stroke, water cooled) dengan kuasa maksimum 83PS @ 6,550rpm dan tork maksimum 108Nm @ 3,100rpm. Enjin tersebut kemudiannya dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan, dan kemampuan pecutan akhirnya dikatakan mencapai angka 198 km/j.

Selanjutnya spesifikasi dan ciri-ciri lengkap pada Brixton Cromwell 1200 termasuklah kapasiti penuh tangki bahan api 16 liter, suspensi depan konvensional, suspensi belakang berkembar (adjustable preload), sistem brek cakera dengan ABS Bosch dua saluran, dua mod tunggangan Eco dan Sport, Traction Control, Cruise Control, sistem lampu LED sepenuhnya, paparan panel meter TFT berbentuk bulat yang bergaya klasik, port USB, tayar depan bersaiz 100/90-R18, tayar belakang bersaiz 150/70-R17, dan tinggi tempat duduk 800 mm yang menawarkan keselesaan kepada penunggang dan juga pembonceng. Berat bersih model tersebut pula ialah 235 kg.