Kelmarin, pihak media telah diberi peluang buat pertama kalinya untuk melihat dengan lebih dekat model skuter terbaharu Italjet Dragster 125 2022 dan Italjet Dragster 200 2022. Kedua-dua model tersebut akan dilancarkan secara rasmi oleh pengedarnya Chear Global Sdn. Bhd. pada tarikh 08hb. Oktober 2022 akan datang, dengan anggaran harga di antara RM 30k sehingga RM 35k.
Italjet Dragster 125 dan Dragster 200 kedua-duanya dikuasakan enjin bersesaran 124cc dan 181cc (4 Stroke, Single Cylinder, 4 Valves DOHC, Water cooled, DOHC, Euro 5), masing-masing dengan kuasa maksimum 14.9hp @ 10,000rpm dengan tork 12.5Nm @ 7,750rpm dan 19.8hp @ 8,250rpm dengan tork 17Nm @ 6,250rpm. Selain daripada perbezaan enjin, kedua-dua model itu mempunyai spesifikasi teknikal yang sama, termasuk dilengkapi sistem brek ABS (front hydraulic disc brake 200 mm & rear hydraulic disc brake 190 mm).
Italjet Dragster 125 dan Dragster 200 dibangunkan dengan menggunakan casis trellis yang kukuh, sistem suspensi depan unik (I.S.S. single-arm and PAIOLI hydro-pneumatic adjustable shock absorber), sistem suspensi belakang tunggal (single hydro-pneumatic adjustable shock absorber), brek cakera dengan kaliper Brembo, dan kapasiti tangki bahan api 9.0 liter. Sistem lampunya merupakan LED sepenuhnya, termasuklah lampu depan yang terang (80,000 lumens).
Model skuter bergaya ranggi itu seterusnya berdiri di atas tayar depan dan belakang dengan ukuran masing-masing 120/70-12 dan 140/60-13, dengan ketinggian tempat duduk berada pada paras 770 mm. Berat kering Italjet Dragster hanyalah 124 kg sahaja, sementara dimensi jarak rodanya mencapai ukuran 1,350 mm, panjang 1,890 mm dan lebar 750 mm. Untuk anda yang berminat, sudah pasti boleh membuat tempahan melalui wakil pengedarnya mulai sekarang.