Honda ADV160 2022 dilancarkan di pasaran Thailand, harga bersamaan RM 12,350.51

Honda di pasaran Thailand kini rasmi melancarkan model skuter terbaharu Honda ADV160 2022, dengan harga sebanyak THB 99,900, bersamaan RM 12,350.51 mengikut kadar semasa. Model tersebut sebelum ini buat pertama kalinya dilancarkan di pasaran Indonesia, pada bulan Julai 2022 yang lepas. Untuk pasaran Thailand, hanya varian teratas sahaja yang ditawarkan, dengan tiga pilihan warna Mat Dahlia Red Metallic, Pearl Smoky Grey dan Mat Gunpowder Black Metallic.

Antara kelebihan yang ditawarkan oleh Honda ADV160 2022 berbanding generasi sebelumnya Honda ADV150 ialah model tersebut kini tampil dengan reka bentuk terkini yang lebih sporty dan lebih gagah. Selain itu ianya kini dilengkapi enjin eSP+ terbaharu dengan sesaran yang lebih besar iaitu 156.9cc bersama-sama teknologi 4-valve. Enjin itu kini menghasilkan kuasa maksimum yang lebih tinggi mencapai 16PS @ 8,500rpm, dengan tork maksimum 14.7Nm @ 6,500rpm.

Honda ADV160 2022 juga kini dilengkapi dengan teknologi HSTC (Honda Selectable Torque Control), panel meter digital LCD terbaharu, USB Charger Type A terbaharu di dalam kotak konsol, tinggi tempat duduk pada paras yang lebih rendah 780 mm berbanding 795 mm, ruang penyimpanan kini seluas 30 liter (tambahan 2 liter), dan windscreen boleh laras yang lebih tinggi.

Spesifikasi menarik lain yang melengkapinya termasuklah sistem Honda Smart Key, lampu depan LED dengan DRL, lampu belakang LED dengan ESS (Emergency Stop Signal), suspensi belakang dengan Twin Subtank, tayar depan dan belakang bersaiz 110/80-R14 dan 130/70-R13 dengan rekaan bunga Semi Dual Purpose, dan sistem brek cakera depan dan belakang dengan ABS. Untuk perjalanan lebih jauh, tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti maksimum 8.1 liter.