Sejak beberapa tahun yang lepas, populariti model dua lejang legenda Yamaha RX-Z tidak pernah pudar. Di pasaran Malaysia, model yang telah dihentikan pengeluarannya sejak lebih 10 tahun yang lalu itu masih menjadi kegilaan ramai peminatnya. Jadi tidak hairanlah harga versi terpakai bagi model itu pada ketika ini telah melambung tinggi.
Oleh itu terdengarlah ura-ura dan khabar angin kononnya Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) akan melancarkan Yamaha RX-Z generasi baharu pada tahun 2023 tidak lama lagi. Antara sebab kenapa HLYM dikatakan bakal melancarkan semula model itu ialah sebagai suatu penghargaan untuk semua peminat model itu di pasaran Malaysia.
Lebih menarik, model Yamaha RX-Z 2023 generasi baharu itu dikatakan tidak lagi akan menggunakan enjin dua lejang, sebaliknya akan menggunakan enjin empat lejang yang lebih mesra alam dan bersih. Jika difikirkan kembali, ada logiknya juga jika benar model tersebut akan dilancarkan semula, kerana tiada lagi masalah dari segi piawaian emisi.
Malah ketika ini terdapat lakaran brosur yang berlegar-legar di internet, memperlihatkan sebuah model Yamaha RX-Z generasi baharu dengan enjin empat lejang, dengan reka bentuk yang boleh tahan. Tidak pasti sekiranya ada peminat yang benar-benar percaya dengan paparan brosur yang diubahsuai itu, jika ada pastinya mereka akan kecewa.
@majalahkapcaimalaysia RXZ bakal dikeluarkan semula? betol ka? mari dengar jawapan dari Pengarah Urusan Hong Leong Yamaha!#rxz #kapcai #rxzstilltheboss #fyp #fypシ
♬ original sound – majalahkapcaimalaysia – majalahkapcaimalaysia
Ini kerana bos besar HLYM iaitu Pengarah Urusan, YBhg Dato’ Jim Khor baru-baru ini sewaktu majlis pelancaran Yamaha 135LC Fi 5MRO Malaysia Edition 2022, telah pun ditanya mengenai kemungkinan pengeluaran semula Yamaha RX-Z. Jawapannya ialah HLYM tidak pernah merancang untuk mengeluarkan kembali model popular tersebut.
Jika anda masih ragu-ragu, anda boleh saksikan dan dengarkan sendiri video temubual bersama beliau yang dijalankan oleh Majalah Kapcai Malaysia, seperti mana paparan di atas. Tambah beliau lagi, itu semua hanyalah khabar angin semata-mata. Namun apa pun, terbukti bahawa Yamaha RX-Z telah berjaya mencipta sejarahnya yang tersendiri.
Untuk makluman anda, gambar-gambar menarik sebuah model yang disunting sebagai Yamaha RX-Z generasi baharu dengan enjin empat lejang itu, sebenarnya ialah model Yamaha SRV-1. Tidak pasti di negara manakah model itu dilancarkan sebelum ini, yang pasti reka bentuknya menarik juga, dengan penampilannya mirip model Yamaha RX-Z.