Zontes M125 2022 diperkenalkan di pasaran Eropah dengan enjin 125cc, harga bersamaan RM 16,813.62

Zontes baru-baru ini telah memperkenalkan model skuter terbaharu Zontes M125 2022, dengan empat pilihan warna menarik Plata, Matte Blue, Negro dan Rojo. Model tersebut dilengkapi enjin 125cc (single cylinder, DOHC, 4 valves, liquid cooled) dengan transmisi automatik. Keluaran kuasanya 14.3hp @ 8,250rpm dengan tork 12.8Nm @ 6,500rpm.

Pelbagai ciri-ciri menarik yang melengkapi Zontes M125 antaranya termasuklah sistem lampu LED sepenuhnya, panel meter digital TFT berwarna dengan empat paparan yang berbeza, sistem kunci pintar, pengecas USB QC3.0 serba pantas, dan sistem brek ABS  Dual Channel. Untuk pasaran Sepanyol, harga jualannya ialah 3,789 (RM 16,813.62).

Di bahagian suspensi, Zontes M125 ini menggunakan fork depan teleskopik, dan ianya dipadankan dengan suspensi belakang berkembar boleh laras. Ukuran tayar depan dan belakang masing-masing ialah 100/80-14 dan 120/70-14. Ketinggian tempat duduknya berada pada paras 748 mm, jarak kelegaan bumi 156 mm, dan berat keringnya 148 kg.

Melengkapkan spesifikasi dan ciri-ciri pada model skuter sporty itu adalah seperti skrin elektrik, rim aloi aluminium, ruang luas di bawah tempat duduk yang boleh memuatkan topi keledar bermuka penuh, handle boleh laras, butang kawalan backlit, kapasiti tangki bahan api 12 liter, dan juga sensor tekanan dan suhu tayar untuk ciri keselamatannya.