Selain daripada model sport bike full fairing Yamaha YZF-R25 2022, pasaran Malaysia pada hari ini turut menerima pelancaran model naked Yamaha MT-25 2022. Perubahan utama yang diperkenalkan oleh HLYM pada model tersebut kali ini hanyalah kemaskini warna terbaharu, dalam dua pilihan warna menarik iaitu Cyan Storm dan Icon Blue.
Dengan perubahan tersebut, Yamaha MT-25 2022 kini ditawarkan dengan harga jualan asas sebanyak RM 22,998.00, meningkat sedikit daripada harga model tahun 2021 iaitu sebanyak RM 21,500.00. Sementara itu, spesifikasi dan ciri-ciri teknikal lain pada model naked yang lincah dan agresif itu masih kekal sama, tanpa sebarang perubahan terkini.
Imbas kembali, Yamaha MT-25 dikuasakan enjin 249cc (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-valve) dengan gandingan transmisi enam kelajuan, yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 35.1PS @ 12,000rpm dengan tork maksimum 22.6Nm @ 10,000rpm. Model itu kemudiannya dilengkapi tangki bahan api 14 liter, dengan berat pada paras 167 kg.
Yamaha MT-25 2022 di pasaran tempatan ini turut memiliki panel instrumen digital LCD, sistem lampu LED, fork depan upside-down, sistem brek cakera dengan ABS dua hala, tayar depan dan belakang 110/70-17 dan 140/70-17, dan tinggi tempat duduk 780 mm. Setiap pembelian akan menerima kunci cakera Yamaha bernilai RM 100.00 percuma.
Sumber gambar : Paultan.org