Jenama pengeluar motosikal dari Itali, MV Agusta kini kembali ke pasaran Malaysia, kali ini diedarkan oleh AFY Mobility Industries Sdn Bhd (AMI). Setakat ini menurut maklumat rasmi, MV Agusta Malaysia Sdn Bhd akan memasang model-model keluarannya secara pemasangan tempatan, melalui kilang pemasangan milik AMI di Glenmarie, Shah Alam.
Antara model-model yang dijangka akan dilancarkan di pasaran Malaysia nanti sebagai model CKD ialah MV Agusta Lucky Explorer 5.5, yang sebelum ini dibangunkan dengan asasnya daripada model kembara Benelli TRK 502. Ianya merupakan kerjasama antara kedua-dua syarikat iaitu MV Agusta dan juga Qianjiang Motorcycle dari negara China.
Untuk makluman, AMI baru-baru ini telah melancarkan pembangunan projek motosikal jenama tempatan, iaitu sebuah model super moped yang dikenali dengan nama Projek AM-2. Projek itu merupakan hasil daripada kerjasama di antara AMI dan Majlis Amanah Rakyat (Mara), dengan pelancarannya dikatakan pada suku ketiga 2023 akan datang.
Sumber : roadracingworld.com
Galeri : MV Agusta Lucky Explorer 5.5 dan MV Agusta Lucky Explorer 9.5