Honda Motor Europe baru-baru ini telah memperkenalkan model Honda NC750X 2023, yang kini tampil dengan tiga pilihan warna terbaharu iaitu Mat Jeans Blue Metallic, Pearl Deep Mud Gray dan Candy Chromosphere Red. Selain itu turut ditawarkan ialah pilihan warna Mat Ballistic Black Metallic, yang dibawakan daripada model tahun 2021/2022.
Honda NC750X bagi model tahun 2021 dan 2022 sebelum ini telah menerima beberapa naik taraf terkini, yang melibatkan gaya rekaan, casis, enjin dan juga sistem elektronik. Bagi model terbaharu untuk musim 2023 ini, spesifikasi teknikal dan ciri-ciri pada model berkenaan masih kekal sama seperti sebelumnya, tanpa sebarang perubahan terkini.
Honda NC750X 2023 dilengkapi enjin bersesaran 745cc (liquid-cooled 4-stroke 8-valve, SOHC parallel 2-cylinder) yang menawarkan sehingga 57.8hp @ 6,750rpm dengan tork mencecah 69Nm @ 4,750rpm. Enjin tersebut dipadankan dengan dua sistem transmisi pilihan, sama ada manual 6-kelajuan atau DCT (Dual Clutch Transmission) 6-kelajuan.
Melengkapkan lagi ciri-ciri menariknya adalah seperti Throttle By Wire dengan tiga mod tunggangan Sport, Rain dan Standard, HSTC, ruang kompatmen 23 liter pada bahagian depan (biasanya tangki petrol), sistem lampu LED sepenuhnya, panel instrumen digital LCD, tangki bahan api 14.1 liter, dan sistem brek cakera dengan ABS Dual Channel.