Keeway V-Cruise 2022 diperkenalkan di pasaran Itali, dilengkapi enjin 125cc V-Twin

Pasaran Itali sebelum ini telah menerima model cruiser Keeway V302 C 2022, dan kini sebuah lagi model terbaharu diperkenalkan iaitu Keeway V-Cruise 125. Penampilan dua model tersebut adalah sama, namun dilengkapi kapasiti enjin yang berbeza, yang mana Keeway V302 C dilengkapi enjin 298cc dan Keeway V-Cruise 125 memiliki enjin 125cc.

Menariknya walaupun hanya memiliki enjin yang bersesaran 125cc (2-cylinder, 4-stroke, 6-valve, SOHC, liquid-cooled) konfigurasi V-Twin pada enjin tersebut kekal seperti mana model Keeway V302 C. Dipadankan dengan transmisi enam kelajuan, enjin itu menjana kuasa maksimum 13.67hp @ 8,500rpm dengan tork maksimum 14.4Nm @ 6,500rpm.

Keeway V-Cruise 125 2022 ini seterusnya dilengkapi fork depan jenis terbalik, suspensi belakang berkembar, saiz roda depan dan belakang 120/80-R16 dan 150/80-R15, tinggi tempat duduk hanya 690 mm, sistem lampu LED sepenuhnya, panel meter digital, dan sistem brek cakera berukuran 300 mm (depan) dan 240 mm (belakang) dengan CBS.

Untuk maklumat tambahan, kedua-dua model Keeway V-Cruise 125 dan Keeway V302 C merupakan model yang dijenamakan semula oleh Keeway, daripada jenama asalnya Benda Motorcycle. Kedua-dua jenama berkenaan merupakan milik syarikat dari China. Pasaran Eropah ketika ini banyak menawarkan model-model motosikal keluaran China.