Masih lagi dengan berita mengenai model motosikal dua lejang legenda Yamaha RX-Z, yang sebelum ini terdengar ura-ura bahawa Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) bakal melancarkannya semula di pasaran Malaysia tidak lama lagi. Malah lebih mengejutkan, versi terbaharu yang bakal dilancarkan itu akan dilengkapi dengan enjin empat lejang.
Bagaimanapun berita tersebut boleh dikatakan hanya khabar angin semata-mata, tanpa sebarang bukti yang kukuh. Yang pasti, harga Yamaha RX-Z di pasaran tempatan pada ketika ini semakin meningkat tinggi, sehingga ditawarkan pada harga jualan mencecah RM 110k dan RM 180k, termasuklah ditukarkan dengan tanah lot bernilai RM 70k.
Namun untuk peminat model tersebut yang kini bertaraf ‘rare’, masih terdapat Yamaha RX-Z Catalyzer versi terpakai yang dijual pada harga berpatutan hanya RM 30k sahaja. Menurut kedai motosikal Yap Brothers Motor di Skudai, Johor, seorang pembeli bertuah telah berjaya memiliki model Yamaha RX-Z Catalyzer tersebut, seperti gambar di atas.
Harga yang ditawarkan itu boleh dikatakan jauh lebih rendah berbanding harga jualan yang diiklankan sebelum ini oleh beberapa penjual yang lain. Malah unit Yamaha RX-Z Catalyzer yang dibeli itu didapati berada dalam keadaan yang sangat baik, dan pastinya berbaloi dengan apa yang dilaburkan oleh pembelinya yang sangat meminati model itu.
Setakat ini dipercayai harga terpakai Yamaha RX-Z terutamanya dalam versi catalyzer, akan terus meningkat tinggi sama ada dijual oleh pemilik persendirian atau dijual oleh kedai motosikal. Pemilikan Yamaha RX-Z di pasaran Malaysia pada ketika ini bolehlah diibaratkan sama dengan emas yang bernilai tinggi dan sentiasa meningkat harganya.
Sumber : Yap Brothers Motor FB