Untuk pasaran Jepun, Honda 400X 2022 ditawarkan secara rasmi dalam bulan Januari 2022. Dua bulan selepas itu pula, model berkenaan dilancarkan di pasaran negara jiran Singapura, dengan nama Honda CB400X 2022. Harga jualan asasnya adalah sebanyak S$17,350.00, bersamaan nilai RM 55,931.28 (tidak termasuk COE dan insuran).
Sama seperti di pasaran Jepun, pilihan warna yang ditawarkan untuk model berkenaan ialah Pearl Glare White dan Matt Ballistic Black Metallic. Begitu juga dengan spesifikasi teknikalnya, seperti enjin dalam sesaran 399cc (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-valve, inline 2-cylinder, PGM-Fi) dengan transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch. Enjin itu menjana prestasi maksimum 46PS @ 9,000rpm dan tork 38Nm @ 7,500rpm.
Melengkapkan lagi spesifikasi dan ciri-ciri menarik Honda CB400X 2022 ini termasuklah fork depan jenis USD Showa Separate Function Fork Big Piston (SFF-BP) 41 mm, brek cakera depan berkembar, sistem ABS Dual Channel, tangki bahan api dengan kapasiti 17.7 liter, tinggi tempat duduk 800 mm, jarak kelegaan bumi 150 mm, dan berat 199 kg.
Selain itu ialah sistem lampu LED sepenuhnya, panel instrumen digital dengan paparan pelbagai info, dan sistem Emergency Stop Signal untuk tahap keselamatan terbaik. Rim roda aluminium yang ringan pula menyumbang kepada pengendalian yang lebih lincah, dengan tayar depan dalam siri 110/80-R19 dan tayar belakang dalam siri 160/60-R17.
Untuk pasaran Malaysia, Boon Siew Honda tidak menawarkan Honda CB400X, namun menawarkan model Honda CB500X 2022, dengan enjin yang lebih besar 471cc. Harga jualannya ialah RM 36,099.00 (tanpa pendaftaran, insuran dan cukai jalan), dengan tiga skim warna Grand Prix Red, Matt Gunpowder Black Metallic dan Pearl Organic Green.