Royal Enfield Malaysia pada kelmarin telah melancarkan model terbaharu Royal Enfield Himalayan Scram 411 2022 untuk pasaran Malaysia. Model itu mempunyai tujuh pilihan warna yang merangkumi varian Premium (White Flame & Silver Spirit), Middle (Blazing Black & Skyline Blue) dan juga Base (Graphite Blue, Graphite Red & Graphite Yellow).
Harga asas yang ditawarkan ialah sebanyak RM 27,400.00 bagi varian Premium, diikuti RM 27,100.00 untuk varian Middle dan RM 26,900.00 untuk varian Base. Aspek teknikal untuk ketiga-tiga model tersebut pula adalah sama, yang berbeza hanyalah skim warna sahaja. Beza harga bagi ketiga-tiga varian adalah di antara RM 200.00 dan RM 500.00.
Royal Enfield Himalayan Scram 411 dilengkapi enjin bersesaran 411cc (single cylinder, four stroke, air cooled, SOHC, fuel injection), yang menjana kuasa maksimum 24.3hp @ 6,500rpm dengan tork 32Nm @ 4,250±250rpm. Enjin itu digandingkan dengan transmisi lima kelajuan. Untuk perjalanan lebih jauh, kapasiti tangki bahan apinya ialah 15 liter.
Beralih ke bahagian suspensi, di depannya ialah fork teleskopik 41 mm dengan travel 190 mm, manakala di belakangnya ialah suspensi monoshock (preload-adjustable, 180 mm wheel travel). Tayar depannya bersaiz 100/90-19 dan belakang bersaiz 120/90-17. Tinggi tempat duduknya ialah 800 mm, jarak kelegaan bumi 200 mm, dan berat 194 kg.
Untuk keselamatan, Royal Enfield Himalayan Scram 411 dibekalkan brek cakera depan dengan diameter 300 mm (2-piston floating caliper), manakala brek cakera belakangnya berdiameter 240 mm (single piston floating caliper). Sistem brek itu disempurnakan lagi dengan ABS Dual Channel. Berikut ialah galeri gambar-gambar menariknya, saksikan.