Kymco Philippines pada 29hb. Julai 2022 yang lalu dengan rasminya telah melancarkan model skuter terbaharu Kymco DT X360 2022. Dikategorikan sebagai model “Adventure Crossover”, model tersebut didatangkan dua pilihan varian sama ada 276cc atau 321cc, dengan harga jualan PHP 239,000 (RM 18,924.88) dan PHP 269,000 (RM 21,300.39).
Bagi varian 276cc, Kymco DT X360 menghasilkan kuasa maksimum 22.79PS dan tork 23.7Nm, manakala varian 321cc menghasilkan kuasa maksimum lebih tinggi mencecah 28.16PS dengan tork 29.3Nm. Perubahan lain ialah varian 276cc mempunyai berat 184 kg, dan 194 kg untuk varian 321cc. Kapasiti tangki bahan api kedua-duanya 12.5 liter.
Kymco DT X360 mempunyai pelbagai ciri-ciri dan spesifikasi menarik. Antaranya seperti enjin bertaraf Euro 5, tayar depan dan belakang berorientasikan adventure dengan saiz 120/80-14 (depan) dan 150/70-13 (belakang), Traction Control System (TCS), brek ABS dua saluran, sistem kunci keyless, panel meter digital, lampu LED dan pengecas USB.
Melengkapkan lagi ciri-cirinya sebagai model skuter kembara ialah tinggi tempat duduk 800 mm yang selesa dan ruang storan di bawah tempat duduk yang luas. Buat masa ini untuk pasaran Malaysia, belum ada sebarang maklumat mengenai pelancarannya. Jika tidak, bolehlah bersaing dengan model WMoto XDV 250i yang bakal dilancarkan nanti.