Yamaha XMAX ABS 2022 terima empat pilihan warna baharu di pasaran Jepun

Model skuter Yamaha XMAX ABS 2022 baru saja diperkenalkan di pasaran Jepun, kini tampil dengan empat pilihan warna terbaharu. Keempat-empat pilihan warna baharu itu ialah Matte Dark Green, Red, Matte Blue dan White. Di samping itu, pilihan warna Matte Dark Gray dari tahun 2021 turut ditawarkan, kepada lima pilihan warna kesemuanya.

Selain daripada pilihan warna terbaharu, Yamaha XMAX ABS 2022 masih mengekalkan spesifikasi teknikal dan ciri-ciri sama seperti model tahun sebelumnya. Kapasiti enjinnya ialah 249cc (single-cylinder, water-cooled, 4-stroke, SOHC, 4 valves) yang menawarkan kuasa maksimum 23PS @ 7,000rpm dengan janaan tork setinggi 24Nm @ 5,500rpm.

Skuter maxi itu seterusnya dilengkapi panel meter dengan paparan pelbagai info, lampu depan dan belakang LED yang bergaya agresif, suspensi depan sama seperti motosikal untuk pengendalian terbaik, Traction Control, brek cakera dengan ABS, tayar depan dan belakang dalam saiz 120/70-15 dan 140/70-14, dan ketinggian tempat duduk 795 mm.

Selain itu, skuter maxi tersebut juga dilengkapi handle dan windshield dengan ciri boleh laras, ruang kompatmen depan dengan soket pengecas DC terbina dalam, tangki petrol dengan kapasiti maksimum 13 liter dan ruang simpanan di bawah tempat duduk seluas 45 liter. Harga jualannya pula kekal sama iaitu 654,500 Yen, bersamaan RM 21,398.59.

Untuk pasaran Malaysia, Hong Leong Yamaha Motor turut menawarkan model Yamaha XMAX 250 2022, dengan harga jualan asas RM 21,998.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Dua pilihan warna yang ditawarkan untuk model tersebut ialah Icon Grey dan Power Grey, masing-masing dengan rim roda berwarna biru dan hitam.