Yamaha YZF-R7 2023 terima pilihan warna baharu di pasaran USA, harga jualan $9,199.00

Untuk pasaran USA, jentera sports kelas pertengahan Yamaha YZF-R7 2023 kini rasmi diperkenalkan dengan satu pilihan warna terbaharu iaitu Intensity White. Pilihan warna serba putih itu ditawarkan bersama-sama dua pilihan warna sebelumnya Team Yamaha Blue dan juga Performance Black, dengan harga jualan $9,199.00 (RM 40,884.96).

Yamaha YZF-R7 merupakan sebuah model baharu, diperkenalkan buat pertama kalinya di pasaran USA pada Mei tahun lepas. Oleh itu spesifikasi teknikal dan ciri-cirinya kekal sama. Enjinnya bersesaran 689cc (2-cylinder, liquid-cooled, 4-stroke, 4-valves, DOHC), yang menjana kuasa maksimum 73.4PS @ 8,750rpm dengan tork 67Nm @ 6,500rpm.

Enjin tersebut kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan dengan sistem Assist & Slipper Clutch. Quick Shift System (QSS) pula merupakan teknologi pilihan (optional) yang menjanjikan daya pecutan lebih pantas. Selain itu, Yamaha YZF-R7 menggunakan casis yang ringan, seterusnya menyumbang kepada pengendalian yang lebih responsif.

Di bahagian suspensi, Yamaha YZF-R7 menggunakan fork depan jenis upside-down 41 mm yang boleh dilaras sepenuhnya. Suspensi belakang monocross rekaan baharu pula menawarkan karakter yang sesuai sama ada untuk tunggangan di jalan raya biasa atau pun di litar, dengan ciri preload dan rebound yang mudah dilaraskan dengan pantas.

Sebagai sebuah model sports yang berkuasa, Yamaha YZF-R7 turut didatangkan posisi tempat duduk sebuah model supersport sejati, di samping hadir dengan ciri-ciri seperti handlebar jenis clip-on dan rekaan bahagian tempat duduk belakang yang optimum dan aerodinamik. Tempat duduk solo turut ditawarkan melalui pilihan aksesori asli Yamaha.

Sistem brek yang mantap amat diperlukan. Oleh itu Yamaha YZF-R7 dilengkapi sistem brek cakera berkembar 298 mm di bahagian depannya, yang menampilkan kaliper brek 4-piston radial-mount, lengkap dengan radial master cylinder daripada Brembo. Sistem brek cakera tunggal di bahagian roda belakang pula hadir dengan diameter 245 mm.

Yamaha YZF-R7 2023 seterusnya dilengkapi tayar depan dan belakang masing-masing dalam saiz 120/70-R17 dan 180/55-R17, yang membalut sepasang rim aloi yang ringan (lightweight 10-spoke cast alloy wheels). Tempat duduknya mempunyai ketinggian 835 mm, berat 188 kg (wet weight), dan tangki bahan api dengan kapasiti penuh 13 liter.

Reka bentuk keseluruhan Yamaha YZF-R7 kental dengan gaya rekaan dalam keluarga R-Series, bukan sekadar tampil sporty dan moden, malah agresif. Muka depannya hadir dengan lampu utama LED tunggal, yang diapit oleh dua lampu posisi LED di bahagian kiri dan kanannya. Sistem lampu pada model berkenaan merupakan LED sepenuhnya.

Beralih ke bahagian kokpitnya yang kompak, ianya menawarkan panel instrumen yang direka baharu sepenuhnya, dengan paparan skrin LED yang terang, jelas dan lengkap dengan informasi yang diperlukan oleh penunggang. Ciri-cirinya termasuklah penunjuk aras gear, lampu penunjuk penukaran gear (shift light) dan juga penunjuk sistem QSS.