Salah sebuah model skuter maxi yang ditawarkan oleh Yamaha untuk pasaran Eropah ialah Yamaha XMAX 300. Untuk musim 2022, model tersebut kini telah menerima skim warna baharu Icon Blue, dan ianya ditawarkan bersama-sama pilihan warna dari musim 2021 iaitu Sonic Grey. Aspek spesifikasi teknikal pula kekal tiada sebarang perubahan.
Yamaha XMAX 300 2022 dikuasakan enjin bersesaran 292cc (4-valves, 4-stroke, single cylinder, liquid-cooled, SOHC), dengan kuasa maksimum 27.6hp @ 7,250rpm dan tork maksimum 29Nm @ 5,750rpm. Enjin yang patuh piawaian emisi Euro 5 dan ekonomi itu kemudiannya telah dipadankan dengan sistem transmisi automatik V-Belt yang lancar.
Di bahagian suspensi, Yamaha XMAX 300 dilengkapi fork depan daripada jenis yang digunakan oleh motosikal, untuk tahap pengendalian yang lebih baik dan tunggangan yang lebih selesa. Sistem brek pula hadir dengan cakera depan berdiameter 267 mm dan cakera belakang dengan diameter 245 mm, lengkap bersama-sama sistem ABS.
Yamaha XMAX 300 seterusnya berdiri di atas roda depan dan belakang dalam ukuran 120/70-R15 dan 140/70-R14, yang menyumbang kepada ketinggian tempat duduk 795 mm. Tempat duduk premium itu dilengkapi dengan backrest bebas yang cukup selesa. Dengan tangki bahan api 13 liter, berat model itu mencapai angka 180 kg (wet weight).
Selain itu, ciri-ciri menarik dan praktikal lain yang melengkapi Yamaha XMAX 300 2022 ini antaranya adalah seperti Traction Control System (TCS), Smart Key System, soket pengecas 12V, ruang barangan yang luas dan boleh memuatkan dua buah topi keledar, panel meter digital, serta lampu depan dan belakang LED dengan lampu posisi LED.