Yamaha Axis Z 2022 di pasaran Jepun terima naik taraf terkini, harga jualan bersamaan RM 9,358.35

Skuter kompak terbaharu Yamaha Axis Z 2022 kini secara rasminya berada di pasaran Jepun mulai bulan Mac yang lepas. Berbanding model tahun sebelumnya, apa yang berubah ialah model tersebut kini telah tampil dengan beberapa naik taraf terkini.

Naik taraf yang diterima ialah model tersebut kini patuh piawaian emisi 2020, dilengkapi teknologi SMG (Smart Motor Generator), sistem brek kini merupakan jenis UBS (Unified Brake System) untuk operasi pemberhentian yang lebih berkesan, tahap keterangan lampu depan telah dipertingkatkan, serta tampil dengan beberapa pilihan warna baharu.

Di bahagian enjin, ianya bersesaran 124cc (single-cylinder, air-cooled, 4-stroke, SOHC, 2-valve) dan dipadankan dengan transmisi automatik CVT. Enjin Blue Core yang cekap dan ekonomi itu menawarkan kuasa maksimum 8.3PS @ 7,000rpm dengan tork 9.8Nm @ 5,000rpm. Tahap penggunaan bahan apinya pula ialah 51.9km/l (WTMC Mode).

Yamaha Axis Z 2022 mempunyai berat hanya 100 kg dan ketinggian tempat duduk 770 mm, menjadikannya lebih selesa dan mudah ditunggang. Di bawah tempat duduknya ialah ruang seluas 37.5 liter, yang mampu memuatkan sehingga dua buah topi keledar.

Untuk pasaran domestik Jepun, harga jualan yang ditawarkan untuk model skuter itu adalah sebanyak 271,700 Yen, bersamaan nilai RM 9,358.35 mengikut kadar semasa. Yamaha Axis Z ini merupakan produk yang dikeluarkan oleh Yamaha Motor Taiwan.