Menurut sumber dari Young Machine, model retro moden dengan enjin empat silinder iaitu Honda CB400 Super Four dan Honda CB400 Super Bol D’or bakal ditamatkan pengeluarannya di pasaran Jepun tidak lama lagi. Kedua-dua model tersebut dikatakan tidak lagi mampu mematuhi piawaian emisi terkini bertaraf Euro 5 yang lebih ketat.
Siri Honda CB400 Super Four mula diperkenalkan untuk pasaran domestik Jepun sejak tahun 1992, bermakna usianya pada tahun ini telah mencecah 30 tahun. Salah satu ciri menariknya sudah tentu enjin yang bersesaran 399cc dalam konfigurasi empat silinder sebaris dengan DOHC, empat injap, sistem penyejukan cecair dan transmisi 6-kelajuan.
Jumlah kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin itu mencecah 56PS @ 11,000rpm, dengan tork maksimum 39Nm @ 9,500rpm. Spesifikasi lain termasuklah tangki bahan api 18 liter, tinggi tempat duduk 755 mm, sistem brek cakera dengan ABS, berat 201 kg dan 206 kg, dan beberapa pilihan warna menarik antaranya Matte Beta Silver Metallic.
Untuk pasaran Jepun, Honda CB400 Super Four dan Honda CB400 Super Bol D’or ketika ini masih lagi ditawarkan, dengan harga di antara 884,400 Yen (RM 30,462.01) sehingga 1,084,600 Yen (RM 37,357.64). Bagi menandakan tamat pengeluaran model ini nanti, dikatakan versi Final Edition akan diperkenalkan secara rasmi tidak lama lagi.