Baru-baru ini pihak media tempatan telah melaporkan bahawa kerajaan Malaysia akan mewajibkan pemasangan Sistem Brek Anti-Kunci atau ABS (Anti-Lock Braking System), terhadap semua motosikal dengan kapasiti enjin 150cc dan ke atas. Arahan berkenaan dikatakan akan berkuatkuasa terhadap semua syarikat pengeluar motosikal.
Bagaimanapun menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, langkah itu hanya akan dilaksanakan selepas kajian terperinci dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS). Tambah beliau lagi, kerajaan memberikan masa selama enam bulan kepada MIROS untuk menjalankan kajian berkenaan.
Selepas itu, tindakan penguatkuasaan penuh akan dilaksanakan dalam jangka masa dua tahun selepas tempoh kajian itu selesai. Kajian tersebut juga dikatakan melibatkan semua pemegang taruh termasuklah pihak industri pengeluar motosikal dan juga wakil pengguna. Berdasarkan kajian Miros terhadap teknologi ABS setakat ini, ianya mampu mengurangkan sehingga 30 peratus kemalangan dan kematian melibatkan motosikal.
Teknologi ABS merupakan teknologi anti gelinciran yang dapat membantu menghalang motosikal daripada tergelincir, terbabas dan gagal mengelak ketika ianya ditunggang. Di pasaran Malaysia ketika ini, antara model-model motosikal 150cc dan ke atas yang kini dilengkapi ABS termasuklah Honda RS-X, SYM VF3i 185 dan skuter Yamaha NVX.
Sistem brek ABS sememangnya sangat penting untuk semua jenis motosikal dan juga skuter, kerana teknologi berkenaan mampu memberhentikan motosikal dalam keadaan yang lebih selamat ketika berada dalam situasi kecemasan. Diharapkan dalam tempoh tiga tahun lagi, semua motosikal 150cc dan ke atas akan dilengkapi sistem brek ABS.
Sumber : Astro Awani