Sejak beberapa tahun yang lepas sehingga kini, peminat motosikal di pasaran Malaysia masih sabar menantikan pelancaran model terbaharu supermoped keluaran Modenas. Lebih menarik lagi apabila Modenas melalui EMOS dilantik sebagai pengedar eksklusif Kawasaki untuk pasaran Malaysia, harapan tersebut dikatakan bakal menjadi realiti.
Ini kerana Kawasaki sebelum ini dilaporkan berminat untuk membantu Modenas dalam membangunkan model supermoped yang sangat dinanti-nantikan itu. Namun, harapan itu mungkin tidak akan menjadi kenyataan, kerana Kawasaki sendiri mengakui bahawa mereka tidak mempunyai perancangan untuk mengeluarkan model kapcai atau moped.
Menurut laporan daripada rakan media Moto Malaya, perkara itu telah disahkan sendiri oleh pihak Kawasaki yang baru-baru ini telah mengadakan perjumpaan dengan wakil media permotoran tempatan, susulan termeterainya kerjasama dengan Modenas selaku pengedar baharu jenama Kawasaki di Malaysia. Selain bertukar-tukar pendapat, wakil Kawasaki yang hadir juga mahu lebih mendalami budaya permotoran di Malaysia.
Wakil Kawasaki Heavy Industries (KHI) yang hadir di dalam perjumpaan itu ialah Keiichi Morohara dan Keishi Fukumoto. Menurut Keiichi Morohara yang berjawatan Pengurus Perancangan Produk KHI, model kapcai atau supermoped sememangnya tiada dalam perancangan Kawasaki, walaupun mengakui permintaan terhadap motosikal seperti itu masih tinggi di Malaysia berbanding pasaran ASEAN lain yang lebih meminati skuter.
Bagaimanapun untuk tidak menghampakan peminat Kawasaki dan Modenas, Morohara selanjutnya menjelaskan pada masa akan datang, mungkin perancangan mereka akan berubah. Atau mungkin juga seharusnya peminat supermoped Kawasaki dan Modenas di pasaran Malaysia telah ‘move on’ dan tidak lagi akan menaruh apa-apa harapan.
Mengenai lakaran sebuah model supermoped Kawasaki yang pernah popular sebelum ini, ianya kini telah pun menjadi model produksi sebenar di negara China. Menariknya, model supermoped sporty itu turut dikatakan bakal dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Untuk maklumat selanjutnya, anda boleh membaca artikel berkaitan seperti di bawah.