Suzuki GSX250R 2022 dilancarkan di pasaran China dengan kemaskini warna baharu, harga bersamaan RM 17,467.42

Untuk pasaran China, sport bike Suzuki GSX250R 2022 baru saja menerima kemaskini warna baharu, dengan enam pilihan warna kesemuanya. Harga jualan yang ditawarkan pula adalah sebanyak CNY 26,680, bersamaan nilai RM 17,467.42. Spesifikasi teknikal pula masih lagi sama, dan tiada sebarang perubahan termasuk di bahagian enjinnya.

Suzuki GSX250R 2022 dikuasakan enjin dalam sesaran 248cc (liquid-cooled, 4-stroke, 2-cylinder, SOHC, 2-valve) dengan kotak gear enam kelajuan. Jumlah kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai paras 24.67hp @ 8,000rpm, dengan tork puncak 23.4Nm @ 6,500rpm. Model seberat 178 kg itu kemudiannya dilengkapi tangki bahan api 15 liter.

Melengkapkan lagi spesifikasi model sport bike itu ialah panel instrumen digital dengan pelbagai informasi, palang pemegang (handlebar) jenis clip-on, lampu depan dilengkapi lampu DRL LED, lampu belakang LED, fork depan teleskopik, suspensi belakang mono, sistem brek cakera depan dan belakang dengan ABS, saiz tayar depan 110/80-17, tayar belakang 140/70-17, tinggi tempat duduk 790 mm, dan jarak kelegaan bumi 160 mm.

Melihat kepada harganya, Suzuki GSX250R 2022 ini tentunya sesuai jika dilancarkan di pasaran Malaysia. Namun buat masa ini belum ada sebarang maklumat daripada pihak Suzuki Malaysia mengenai pelancarannya, kecuali maklumat mengenai dua model lain iaitu Suzuki Gixxer 250 dan Gixxer SF250 yang dikatakan bakal dilancarkan nanti.