Majalah permotoran terkenal Young Machine dari Jepun telah memberikan tips terkini mengenai pelancaran sebuah lagi model terbaharu keluaran Kawasaki. Model tersebut ialah Kawasaki Z400RS 2023, dan ianya dijangka bakal dilancarkan secara rasmi pada hujung tahun ini bersama-sama model sport terbaharu Kawasaki Ninja ZX-4R 2023.
Kawasaki Z400RS jika benar ianya akan menjadi realiti, merupakan model ketiga dalam segmen retro moden Kawasaki selepas Kawasaki Z900RS dan Kawasaki Z650RS. Apa yang menariknya ialah dikatakan Z400RS akan dikuasakan enjin dengan empat silinder dalam sesaran 400cc, iaitu enjin yang sama melengkapi model Kawasaki Ninja ZX-4R.
Enjin itu pula dikatakan berasal daripada enjin Kawasaki ZX-25R, yang mana ianya kini telah dibangunkan semula demi menjimatkan kos. Menurut Young Machine lagi, rangka atau casis Z400RS dibawakan daripada model Ninja ZX-4R, yang juga berasal daripada Ninja ZX-25R. Penampilannya pula mungkin seperti lakaran dalam galeri di bawah.
Bagaimanapun sama ada Ninja ZX-4R atau Z400RS, kedua-dua model tersebut masih lagi merupakan khabar angin, namun Young Machine percaya bahawa mereka memiliki bukti kukuh akan pembangunan kedua-duanya. Apa pun sama-sama kita tunggu, mana tahu dua model itu akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia, oleh Modenas (EMOS).