Keeway baru-baru ini telah melancarkan sebuah model naked terbaharu untuk pasaran Itali, dikenali dengan nama Keeway MBP M502 N 2022. Mempunyai reka bentuk sporty dan bergaya, model tersebut tampil dengan dua skim pilihan warna menarik iaitu Putih dan Hitam. Spesifikasi teknikal pada model berkenaan juga boleh dikatakan impresif.
Menurut maklumat daripada laman sesawang Keeway Itali, Keeway MBP M502 N 2022 ini dikuasakan enjin bersesaran 486cc (In-line twin, 4-stroke, 8-valve, liquid cooled) dan dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan. Jumlah kuasa maksimum enjin tersebut berada pada paras 47hp @ 8,500rpm, dengan janaan tork setinggi 45Nm @ 6,750rpm.
Di bahagian suspensi, ianya menggabungkan fork depan upside-down dan monoshock (adjustable preload), kedua-duanya buatan KYB. Brek cakera depan berkembar datang dalam saiz 300 mm, manakala cakera belakang tunggal bersaiz 240 mm. Sistem kaliper berasal daripada jenama J.Juan, dilengkapkan bersama-sama BOSCH ABS 2-channel.
Keeway MBP M502 N 2022 seterusnya berdiri di atas sepasang tayar Pirelli Angel GT, masing-masing dalam saiz 20/70-ZR17 (depan) dan 60/60-ZR17 (belakang). Ketinggian tempat duduk berada pada paras 790 mm, dan beratnya mencapai 197 kg. Untuk jarak perjalanan yang lebih jauh, ianya dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti 17 liter.
Berdasarkan gambar-gambar yang dipaparkan di dalam galeri di bawah, tidak dinafikan model naked terbaharu Keeway MBP M502 N mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Jika ianya dilancarkan di pasaran Malaysia nanti, mungkin oleh MForce Bike, boleh jadi ianya akan mendapat sambutan hangat daripada ramai peminat motosikal tempatan.