Yamaha di pasaran Thailand baru-baru ini dengan rasminya melancarkan model naked Yamaha MT-15 2022 terbaharu, yang kini tampil dengan kemaskini warna baharu. Tiga pilihan warna terbaharu untuk model tersebut ialah Metallic Grey, Racing Blue dan Matt Black, manakala harga jualannya ditetapkan sebanyak THB 101,000 (RM 12,834.66).
Berbanding model tahun sebelumnya, spesifikasi teknikal untuk Yamaha MT-15 2022 ini masih kekal sama. Bermakna tiada penambahan ciri-ciri terkini seperti yang dimiliki oleh Yamaha MT-15 2022 di pasaran India, contohnya ialah Yamaha Y-Connect dan sistem brek dengan ABS. Yamaha MT-15 juga masih belum dilengkapi lampu signal jenis LED.
Kita imbas kembali spesifikasi enjinnya, iaitu bersesaran 155cc (Single Cylinder, SOHC, 4-valve, Liquid Cooled) dengan teknologi VVA. Sistem transmisinya ialah enam kelajuan yang digandingkan dengan sistem Assist & Slipper Clutch. Model itu mempunyai tangki bahan api dengan kapasiti penuh 10 liter, dan berat keseluruhannya hanyalah 133 kg.
Spesifikasi menarik lain pada model berkenaan termasuklah casis Deltabox dan lengan ayun aluminium, panel meter digital LCD, lampu posisi jenis berkembar dengan lampu hadapan LED mono yang kelihatan agresif, fork depan jenis terbalik, cakera brek depan 282 mm, tayar belakang dengan lebar 140 mm dan ketinggian tempat duduk 810 mm.
Di pasaran Malaysia, Yamaha MT-15 2021 telah diperkenalkan dalam bulan September tahun lepas, dengan harga asas sebanyak RM 11,988.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Dijangkakan versi tahun 2022 akan diperkenalkan oleh HLYM tidak lama lagi, mungkin dengan skim warna yang sama seperti di pasaran Thailand.