Pelancaran rasmi Kawasaki Ninja ZX-4R 2023 semakin dekat, dijangka berlangsung dalam suku keempat tahun ini

Menurut sumber dari Jepun, pelancaran rasmi model sports terbaharu Kawasaki Ninja ZX-4R 2023 dikatakan bakal berlangsung pada hujung tahun ini, dalam suku keempat 2022. Maklumat itu telah didedahkan oleh majalah permotoran terkenal Young Machine melalui artikel terkini yang disiarkan baru-baru ini, namun adakah maklumat itu benar?

Menurut Young Machine, mereka mempunyai bukti kukuh bahawa pembangunan model dengan enjin 400cc dalam konfigurasi empat silinder itu telah hampir siap sepenuhnya. Namun reka bentuk sebenar model itu ketika ini masih samar-samar, namun itu semua tidak menghalang mereka untuk menggambarkannya dalam versi lakaran komputer.

Berdasarkan imej lakaran komputer yang didedahkan oleh Young Machine, termasuklah lakaran komputer dari Autoby, penampilan keseluruhan Kawasaki Ninja ZX-4R adalah lebih sporty berbanding model Kawasaki Ninja ZX-25R. Namun itu hanyalah gambaran awal, dan boleh jadi model produksi sebenar nanti akan tampil lebih sporty dan garang.

Berdasarkan informasi terdahulu, Kawasaki Ninja ZX-4R bakal dilengkapi enjin baharu yang lebih moden dan patuh piawaian emisi terkini. Oleh itu pasaran model berkenaan akan menjadi lebih luas, berkemungkinan besar akan turut dilancarkan di pasaran USA dan Eropah. Untuk pasaran Malaysia, amat diharapkan ianya akan turut dilancarkan.

Sumber : Young Machine