Didi Resources Sdn. Bhd. selaku pengedar sah motosikal berjenama Aprilia di pasaran Malaysia, baru-baru ini dengan rasminya melancarkan model berkuasa tinggi terbaharu Aprilia RSV4 1100 Factory 2022. Untuk pasaran Malaysia, model tersebut dijual dengan harga asas RM 169,900.00, tidak termasuk insuran, cukai jalan dan kos pendaftaran.
Aprilia RSV4 1100 Factory sebelum ini telah membuat kemunculan pertama di pasaran antarabangsa pada Mac 2021, dengan dua pilihan warna menarik Lava Red dan Aprilia Black. Berbanding generasi sebelumnya, rekaan model itu kini semakin berevolusi dan kelihatan lebih segar serta kontemporari. Sebagai contoh, lampu depannya kini ternyata berlainan, dan ianya turut dilengkapi winglet dua lapisan di bahagian dalam fairingnya.
Ini membolehkan prestasi aerodinamik Aprilia RSV4 1100 Factory telah dipertingkatkan ke tahap yang signifikan. Corak tunggangan juga kini lebih ergonomik dan lebih selesa, peningkatan hasil daripada penggunaan tangki bahan api dan pelana baharu. Lengan ayun baharu yang lebih ringan dan lebih kuat menambahkan lagi prestasi pecutannya.
Selain itu menurut Aprilia, sistem kawalan elektrikal kini lebih berfungsi dan intuitif, dan paparan instrumen TFT baharu kini tampil lebih besar dan lengkap. Dengan kehadiran Marelli 11MP ECU dan sistem IMU six-axis terbaharu, pengurusan elektronik kini telah bertambah baik dengan kawalan sepenuhnya melalui sistem pendikit Ride-by-Wire.
Sistem operasi APRC juga kini telah diperhalusi semula, manakala rangkaian sistem kawalan elektronik Aprilia yang eksklusif juga telah disempurnakan melalui pengenalan sistem multi-level engine brake control. Kini terdapat enam mod tunggangan, tiga untuk litar dan tiga untuk jalanan, dan penunggangnya hanya perlu membuat pilihan sahaja.
Model berkenaan turut mempunyai kelebihan dan prestasi keseluruhan yang lebih baik apabila dilengkapi rim aluminium jenis forged, sistem suspensi semi-aktif Öhlins Smart EC 2.0 dan kaliper brek Brembo Stylema. Melengkapkan tahap keselamatannya ialah Bosch 9.1 MP ABS, termasuklah cornering ABS, wheelie control dan launch control.
Aprilia RSV4 1100 Factory 2022 dikuasakan enjin 1,099cc, meningkat berbanding enjin terdahulu 1,077cc. Enjin patuh piawaian Euro 5 itu kini menawarkan kuasa maksimum 217hp @ 13,000rpm, dengan tork puncak 125Nm @ 10,500rpm. Sistem ekzos baharu dan enjinnya yang kini lebih efektif antara yang membantu dalam pencapaian tersebut.