LiveWire, jenama pengeluar motosikal elektrik milik Harley-Davidson, baru-baru ini telah memperkenalkan model terbaharu LiveWire S2 Del Mar 2023. Merupakan model kedua selepas model pertama LiveWire ONE 2021, LiveWire S2 Del Mar buat masa ini hanya dikeluarkan sebagai model edisi terhad Launch Edition, dalam jumlah 100 unit sahaja.
Menariknya, model elektrik dengan pilihan dua warna Comet Indigo dan Jasper Gray itu telah pun habis terjual dalam tempoh 18 minit sahaja selepas ianya diperkenalkan. Buat masa ini, maklumat mengenai spesifikasi teknikal S2 Del Mar belum diumumkan secara rasmi, namun sasaran kuasanya dikatakan sekitar 80hp, dengan jarak perjalanan dalam bandar sekurang-kurangnya sejauh 160 km. Pecutannya dari sifar ke 100 km dikatakan sekitar 3.5 saat atau lebih baik, dengan berat keseluruhannya disasarkan hanya 197 kg.
Menurut maklumat daripada siaran akhbar rasmi yang diterbitkan oleh LiveWire, S2 Del Mar merupakan sebuah model yang dipanggil “urban street tracker”. Di bahagian tayar, ianya berukuran 19 inci dan menggunakan tayar Dunlop DT-1, dan model tersebut juga dikatakan mampu meredah laluan yang mencabar dengan keupayaan on-and-off road. Harga yang ditawarkan untuk LiveWire S2 Del Mar Launch Edition 2023 ialah sebanyak $17,699.00, manakala versi standard S2 Del Mar nanti dijangkakan sekitar $15,000.00.
Sumber : Cycleworld.com