Suzuki Burgman Street tampil sporty dan elegan, bilakah ianya akan dilancarkan di pasaran Malaysia?

Di pasaran tempatan pada ketika ini, Suzuki Malaysia baru saja melancarkan tiga buah model motosikal dengan enjin 150cc iaitu Suzuki Raider R150, Suzuki GSX-S150 dan Suzuki GSX-R150. Selepas ini mungkin sebuah model skuter terbaharu pula yang akan dilancarkan, namun belum pasti model yang mana satukah bakal menjadi pilihan nanti.

Salah sebuah model skuter menarik keluaran Suzuki yang dijual di pasaran luar negara ketika ini ialah Suzuki Burgman Street. Untuk pasaran India, model tersebut ditawarkan dalam dua pilihan varian Standard Edition dan Ride Connect Edition. Kedua-dua varian itu masing-masing tampil dengan lima pilihan warna yang elegan dan cukup menyerlah.

Melihat kepada spesifikasi dan ciri-ciri yang terdapat pada Suzuki Burgman Street, tidak dinafikan lagi bahawa ianya merupakan sebuah model skuter yang sesuai untuk dibawa masuk ke pasaran Malaysia. Reka bentuknya bagaikan sebuah model skuter besar dan enjinnya pula bersesaran 124cc, dengan kuasa dan tork maksimum yang memuaskan.

Antara ciri-ciri menarik yang ditawarkan oleh Suzuki Burgman Street termasuklah lantai kaki jenis rata yang luas, teknologi Engine Start And Kill Switch With Suzuki Easy Start System, Shutter Key With Central Seat Lock, panel meter digital dengan ciri sambungan Bluetooth dan soket USB (varian Ride Connect), panel meter digital dan soket DC untuk varian Standard, lampu depan LED dengan lampu posisi dan juga lampu belakang LED.

Selain itu, model tersebut turut menawarkan ruang bagasi di bawah tempat duduk yang luas sehingga 21.5 liter, Glove Box & Rack pada bahagian depan seluas 2.0 liter, sistem brek cakera depan, skrin penghadang angin sebagai ciri standard, dan juga tongkat sisi (Side Stand Interlock) yang memastikan enjin hanya dapat dihidupkan apabila diangkat.

Bagi varian Ride Connect yang tersedia dengan ciri sambungan ke telefon pintar, ianya menawarkan pelbagai ciri-ciri dan kemudahan untuk penunggang, termasuklah paparan notifikasi panggilan, SMS dan WhatsApp, amaran kelajuan, sistem navigasi, kemaskini ETA (Estimated Time of Arrival), dan juga paparan paras bateri telefon waktu sebenar.

Suzuki Burgman Street dilengkapi enjin dalam sesaran 124cc (4-Stroke, 1-Cylinder, Air-Cooled, SOHC, 2-Valve) dengan padanan transmisi CVT. Jumlah kuasa yang dihasilkan mencapai 8.7PS @ 6,750rpm dengan tork 10Nm @ 5,500rpm. Tangki bahan api model tersebut ialah 5.5 liter, tinggi tempat duduk 780 mm dan berat skuter itu hanya 110 kg.

Di pasaran tempatan, skuter yang ditawarkan oleh Suzuki Malaysia pada ketika ini ialah Suzuki Burgman 400, dengan harga asas RM 45,999.00. Jika Suzuki Burgman Street ini dilancarkan nanti, harganya pasti jauh lebih rendah dan berpatutan, dan ianya sesuai untuk kebanyakan penunggang di Malaysia yang memiliki hanya lesen dalam kelas B2.

Galeri : 2022 Suzuki Burgman Street Standard Edition

Galeri : 2022 Suzuki Burgman Street Ride Connect Edition