Pada pertengahan Februari 2022 yang lalu, Yamaha secara rasminya memperkenalkan jentera adventure terbaharu iaitu Yamaha Ténéré 700 World Raid 2022, untuk pasaran Eropah. Merupakan model yang ketiga selepas Yamaha Ténéré 700 2022 dan Yamaha Ténéré 700 Rally Edition 2022, ianya tampil berbeza dengan spesifikasi lebih canggih.
Menurut Yamaha, Ténéré 700 World Raid mampu meredah laluan yang lebih mencabar pada jarak yang lebih jauh, berkat sistem suspensi yang dipertingkatkan dan juga tangki bahan api yang kini lebih besar. Sistem suspensinya kini menggunakan fork depan KYB 43 mm dengan jarak travel 230 mm, manakala di bahagian belakangnya ialah penyerap hentak aluminium piggyback dengan travel 220 mm, dan boleh dilaraskan sepenuhnya.
Turut melengkapi jentera tersebut ialah steering damper Öhlins dengan 18 jenis talaan yang berbeza, sebagai ciri standardnya. Sistem brek cakera dengan ABS pula memiliki ciri boleh ubah sehingga 3 mod, iaitu Mod 1 di mana ABS akan berfungsi untuk kedua-dua roda, Mod 2 dengan ABS yang berfungsi hanya pada roda depan, dan Mod 3 yang membolehkan ABS dimatikan sepenuhnya untuk aksi dan tunggangan off road sebenar.
Yamaha Ténéré 700 World Raid 2022 seterusnya mempunyai tangki bahan api dengan kapasiti 23 liter, dengan rekaan unik jenis berkembar (dual side-mounted fuel tanks) dan dikatakan mampu mencapai jarak perjalanan sejauh 500 km. Kemudiannya panel meter TFT 5.0 inci memiliki ciri sambungan telefon yang boleh menerima teks dan panggilan.
Melengkapkan lagi spesifikasi dan ciri-ciri menarik pada model tersebut ialah kawasan kokpit dan cowling depannya kini tampil dengan rekaan baharu sepenuhnya, dilengkapi USB type A, sistem lampu LED penuh, skrin penghadang angin yang tinggi dengan side deflectors dan LED flashers yang boleh ditanggalkan dengan mudah, pelindung enjin 3-piece aluminium, penyokong enjin die-cast aluminium baharu, jeriji enjin rekaan baharu, dan footrest baharu yang lebih besar dengan sisipan getah yang mudah ditanggalkan.
Di bahagian enjin, Yamaha Ténéré 700 World Raid dikuasakan enjin 689cc (4-stroke, 2-cylinder, liquid-cooled, DOHC) dengan gandingan transmisi enam kelajuan. Enjin patuh piawaian emisi Euro 5 itu menawarkan kuasa maksimum 72.41hp @ 9,000rpm, dengan tork 68Nm @ 6,500rpm. Akhir sekali, pilihan warna ialah Icon Blue dan Midnight Black.