Baru-baru ini Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) iaitu Datuk Aishah Ahmad, berkata kini wujud kemungkinan besar akan berlaku kenaikan harga kereta di Malaysia berikutan peningkatan kos yang terpaksa ditanggung oleh pengeluar. Antara sebabnya ialah kenaikan harga bahan mentah, kos logistik dan kejatuhan nilai Ringgit Malaysia.
Setakat laporan ini ditulis, nilai 1USD adalah bersamaan RM 4.40, berbanding RM 4.18 pada beberapa bulan yang lepas. Persoalannya ialah jika benar berlaku kenaikan harga kereta di Malaysia, adakah ianya akan turut melibatkan kenaikan harga motosikal? Buat masa ini belum terdengar ura-ura mengenai perkara itu, namun ianya tidaklah mustahil.
Jika harga motosikal di pasaran tempatan akan dinaikkan, juga dengan alasan kenaikan harga bahan mentah, kos logistik dan kejatuhan nilai Ringgit Malaysia, bermakna ianya akan memberikan tekanan kewangan bagi golongan bawahan dan pertengahan. Apatah lagi harga jualan motosikal di pasaran pada ketika ini sememangnya sudah sedia tinggi.
Diharapkan pengeluar motosikal di pasaran Malaysia tidak akan sewenang-wenangnya membuat keputusan untuk menaikkan harga motosikal masing-masing, dengan alasan nilai Ringgit Malaysia yang semakin lemah. Atas tanggungjawab sosial, kenaikan harga yang sedikit itu pastinya mampu diserap oleh setiap pengeluar motosikal di Malaysia.
Jika kenaikan harga itu tidak dapat dielakkan, pihak kerajaan perlu mengambil inisiatif sewajarnya. Antaranya memperkenalkan semula pengecualian duti eksais 100 peratus, seperti mana yang diperkenalkan sebelum ini bagi tempoh 01hb. April sehingga 31hb. Disember 2021. Apa pun diharapkan kenaikan harga motosikal itu tidak akan berlaku.
p/s : Di pasaran Malaysia, Honda RS-X Repsol Edition 2022 ditawarkan dengan harga jualan asas sebanyak RM 9,948.00. Diharapkan harga ini akan terus kekal.