Untuk pasaran Eropah, jentera kembara Yamaha Ténéré 700 2022 telah diperkenalkan secara rasmi sejak bulan Disember 2021 yang lepas. Model tersebut kini tampil dengan pilihan dua warna terbaharu Icon Blue dan Midnight Black yang lebih sporty, dan kedua-dua pilihan warna tersebut turut dipadankan dengan rim roda berwarna biru dan hitam.
Yamaha Ténéré 700 2022 dikuasakan enjin CP2 berkapasiti 689cc (4-stroke, 2-cylinder, liquid-cooled, DOHC) dengan gandingan transmisi enam kelajuan. Enjin patuh piawaian emisi Euro 5 itu menawarkan kuasa maksimum 72.41hp @ 9,000rpm, dengan keluaran tork 68Nm @ 6,500rpm. Tangki bahan apinya pula hadir dalam kapasiti penuh 16 liter.
Spesifikasi lengkap Yamaha Ténéré 700 2022 antaranya termasuklah kerangka ‘double cradle tubular steel’ yang ringan, gaya rekaan badan dan tempat duduk yang langsing, kompak dan ergonomik, fork depan boleh laras jenis upside down 43 mm dengan travel 210 mm, dan juga suspensi belakang boleh laras kawalan jauh dengan travel 200 mm.
Selain itu ialah kokpit bergaya rally dengan ‘tapered handlebars’, panel instrumen multi-fungsi bergaya rally yang kompak, brek cakera depan berkembar 282 mm, brek cakera belakang 245 mm, kaliper Brembo, ABS dua saluran dengan ciri yang boleh dimatikan, lampu depan LED, lampu belakang LED, dan rim roda aluminium berjejari yang ringan.
Yamaha Ténéré 700 2022 berdiri di atas sepasang tayar Pirelli Scorpion Rally, masing-masing hadir dengan saiz 90/90-R21 pada bahagian depan dan 50/70-R18 di bahagian belakang. Untuk lebih keselesaan dan juga tahap perlindungan yang lebih baik sewaktu tunggangannya, jentera itu turut dilengkapi skrin penghadang angin dan ‘handguards’.