TVS XL100 2022 dilancarkan di pasaran Indonesia, motosikal unik dengan harga bermula dari RM 4,154.63

Pasaran negara jiran Indonesia baru-baru ini telah menerima kehadiran sebuah model motosikal terbaharu iaitu TVS XL100 2022. Motosikal yang tampil dengan gaya rekaan unik itu ditawarkan dengan harga sebanyak Rp. 13,900,000 (RM 4,154.63) untuk model berwarna hitam, dan Rp. 14,390,000 (RM 4,301.09) untuk model berwarna coklat.

TVS XL100 merupakan sebuah motosikal multifungsi, yang sesuai digunakan sama ada untuk tunggangan seharian atau untuk kegunaan perniagaan. Model itu dilengkapi enjin 99.7cc (Silinder Tunggal, 4 Langkah, Pendingin Udara, Injeksi) dengan sistem transmisi automatik. Kuasanya mencapai 4.4PS @ 6,000rpm dengan tork 6.5Nm @ 3,500rpm.

Untuk kemudahan, TVS XL100 dilengkapi sistem penghidup elektrik (dengan ciri cut-off) dan tendang, brek dram depan dan belakang dengan teknologi yang dikenali sebagai SBT (Synchronized Braking Technology), lampu LED DRL yang bergaya, handlebar yang ergonomik, lampu penunjuk bahan api apabila baki tinggal hanya 1.25 liter, tempat duduk penunggang yang selesa, dan tempat duduk belakang yang boleh dialih keluar.

Untuk model berwarna coklat, ianya dilengkapi beberapa ciri yang eksklusif iaitu cermin pandang belakang retro, mufller ekzos dengan penutup krom, tempat duduk dwi warna, dan port pengecas telefon bimbit. TVS XL100 turut dibekalkan ciri menarik Sensor Roll Over, yang akan mematikan enjin dalam 3 saat ketika dalam posisi kemiringan tertentu.

Akhir sekali menurut pengeluarnya, TVS XL100 mampu menjalankan tugas-tugas berat kerana ianya dilengkapi tayar yang kuat dan tahan lama, suspensi belakang yang tahan lasak, dan sproket belakang berukuran 46 yang mampu mencapai paras tork tinggi dan ditunjangi oleh rantai jenis Heavy Duty. Jadi, apa pendapat anda mengenai model ini?