MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. pada kelmarin dengan rasminya melancarkan sebuah model adventure terbaharu untuk pasaran Malaysia iaitu Moto Morini X-Cape 650 2022. Model tersebut didatangkan dalam dua varian, 650 (standard) dan 650X, dengan pilihan warna masing-masing ialah Dolomites Red, Monte Blanco White dan Carrara Grey.
Berbanding varian 650, varian 650X tampil lebih premium dengan kelengkapan rim jenis berjejari, handguards, aluminium engine guard dan crash bars. Selain itu, paras tempat duduk varian 650X juga lebih tinggi iaitu 835 mm, berbanding 810 mm pada varian 650. Spesifikasi yang lain adalah sama untuk kedua-dua varian, termasuk spesifikasi enjin.
Moto Morini X-Cape 650 2022 dilengkapi enjin berkapasiti 649cc (inline-two cylinder, 4-stroke, liquid-cooled, DOHC, 8-valves, BOSCH EFi) dengan gandingan transmisi enam kelajuan. Enjin berkenaan menghasilkan kuasa maksimum 60hp @ 8,500rpm, dengan tork maksimum 56Nm @ 7,000rpm. Kapasiti tangki bahan apinya pula ialah 18 liter.
Seterusnya pelbagai ciri-ciri menarik melengkapi Moto Morini X-Cape 650 ini, antaranya ialah sistem lampu LED, panel instrumen TFT 7.0 inci berwarna dengan ciri sambungan Bluetooth, fork depan upside down Marzocchi, suspensi belakang KYB boleh laras, brek cakera depan dan belakang daripada Brembo, ABS dua saluran, roda depan berukuran 110/80-19 dan belakang berukuran 150/70-19, dan sepasang tayar jenis dual-purpose.
Untuk pasaran Malaysia, Moto Morini X-Cape 650 2022 bagi varian standard ditetapkan harganya sebanyak RM 39,999.00, dan varian 650X berharga sebanyak RM 43,999.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Tempoh jaminan yang ditawarkan adalah selama 2 tahun, atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba lebih awal).
Galeri : 2022 Moto Morini X-Cape 650