Suzuki di pasaran India hari ini rasmi melancarkan sebuah model adventure terbaharu, dikenali dengan nama Suzuki V-Strom SX 2022. Model tersebut didatangkan dalam tiga pilihan warna yang menarik, manakala harga jualannya ditetapkan sebanyak ₹ 211,600, bersamaan nilai RM 11,738.77 sahaja mengikut kadar tukaran mata wang semasa.
Dengan pelancaran Suzuki V-Strom SX 2022 tersebut, India menjadi negara pertama yang menerima kehadirannya. Tidak mustahil selepas ini model adventure itu akan turut dilancarkan di pasaran ASEAN termasuk Malaysia. Ini kerana gaya rekaan, penampilan dan spesifikasinya boleh dikatakan bersesuaian dan pastinya diterima ramai peminat.
Melihat ke bahagian spesifikasinya, ianya dikuasakan enjin bersesaran 249cc (4-stroke, single-cylinder, oil-cooled, SOHC, 4-valve, fuel injection) dengan gandingan kotak gear enam kelajuan. Enjin itu menghasilkan kuasa maksimum 26.5ps@9300rpm dengan tork 22.2Nm@7300rpm. Untuk perjalanan lebih jauh, ianya dibekalkan tangki petrol 12 liter.
Spesifikasi lain Suzuki V-Strom SX 2022 termasuklah fork depan teleskopik, suspensi belakang tunggal, brek cakera depan dan belakang, tayar depan 100/90-R19 dan tayar belakang 140/70-R17, tinggi tempat duduk 835 mm, jarak kelegaan bumi 205 mm, dan berat hanya 167 kg. Selain itu ianya turut dilengkapi lampu depan dan belakang LED.
Lebih menarik, turut tersedia ialah panel instrumen digital pelbagai maklumat dengan fungsi sambungan Suzuki Ride Connect Edition with Bluetooth Enable Digital Console, Suzuki Easy Start System untuk menghidupkan enjin dengan mudah, USB outlet untuk mengecas telefon bimbit, dan termasuk juga pelbagai pilihan aksesori yang menarik.