Pasaran Malaysia baru-baru ini telah menerima pelancaran rasmi sebuah model skuter terbaharu WMoto ES250i 2022. Tidak lama lagi, model kembarnya yang lebih menarik dan bertaraf adventure akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia. Model tersebut akan dikenali sebagai WMoto Xtreme 250, dengan kelengkapan enjin bersesaran 244cc.
Untuk anda yang mungkin belum tahu, WMoto Xtreme 250 diasaskan daripada model terbaharu Longjia XDV250i 2022 di pasaran China. Bagaimanapun menurut maklumat daripada pihak media di sana, model berkenaan sebenarnya belum dilancarkan secara rasmi di pasaran China. Namun sesi tunggang uji telah pun dijalankan oleh Longjia.
Setakat ini, terdapat pihak media di negara China telah melakukan sesi unboxing untuk model skuter adventure Longjia XDV250i, termasuk melakukan sesi tunggang uji bagi menguji kemampuannya meredah laluan off-road. Maklum balas yang diterima adalah positif, sama ada dari segi keselesaan, prestasi enjinnya dan ciri-ciri yang ditawarkan.
Longjia XDV250i @ WMoto Xtreme 250 mempunyai saiz yang tidaklah sebesar mana, dan anda boleh membandingkannya dengan model WMoto ES250i yang ketika ini telah tiba di rangkaian pengedar WMoto di pasaran negara kita. Bayangkan saiznya sebesar hanya model adventure Honda ADV150, namun dilengkapi enjin yang lebih berkuasa.
Jadi untuk anda yang mungkin mahukan sebuah model skuter dengan keupayaan yang lebih ekstrem berbanding model WMoto ES250i, anda perlu menunggu sehingga model kembarnya WMoto Xtreme 250 dilancarkan dengan rasmi tidak lama lagi. Sebelum itu, saksikan dahulu paparan gambar-gambar menarik Longjia XDV250i seperti di bawah.
Sumber : new.qq.com