Model moped Aveta V13R telah dilancarkan di pasaran Malaysia pada bulan November 2021 yang lepas, dengan harga jualan asas RM 6,688.00. Kini bagi menambahkan lagi nilainya, Aveta melalui laman Facebook rasmi mereka telah memaparkan sebuah model V13R, yang kini dilengkapi aksesori aftermarket daripada jenama tempatan Rapido.
Melihat kepada gambar-gambar model berkenaan, secara tidak langsung membuktikan bahawa V13R juga boleh dinaik taraf dan menjalani modifikasi dengan pelbagai pilihan aksesori aftermarket yang menarik. Namun tidak dapat dipastikan sama ada aksesori yang digunakan itu khusus untuk model tersebut, atau ianya merupakan versi universal.
Aveta V13R seperti mana yang kita semua sedia maklum, penampilannya mirip model moped popular keluaran Yamaha. Oleh itu tidak hairanlah yang ianya boleh dimodifikasi bagi menjadikan penampilannya lebih sporty dan menawan. Untuk pemilik Aveta V13R, anda boleh dapatkan semua aksesori tersebut dari wakil jualan Aveta atau pun Rapido.