GPX Japan Co.,Ltd. baru-baru ini rasmi melancarkan model kapcai terbaharu iaitu GPX POPZ 110 2022, untuk pasaran domestik Jepun. Didatangkan dalam lima pilihan warna menarik seperti British Green, Vermilion Orange, Satin Silver, Candice Red dan Cavyn Super Black, harga jualannya ialah sebanyak 264,000 Yen, bersamaan RM 9,441.27.
GPX POPZ 110 dikuasakan enjin empat lejang bersesaran 109cc (1 cylinder, SOHC, air cooled), lengkap dengan sistem suntikan bahan api (fuel injection). Enjin yang responsif dan cekap penggunaan bahan api itu seterusnya dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan. Jumlah kuasa dan tork daripada enjin itu bagaimanapun tidak diumumkan.
Bergaya vintaj, GPX POPZ 110 2022 turut dilengkapi paparan panel meter semi digital dengan gaya cool dan klasik, sistem lampu LED sepenuhnya dalam gaya retro, rim aloi aluminium yang ringan dan kuat, brek depan cakera 220 mm, sistem suspensi belakang dengan dua tahap pelarasan, dan tempat duduk bergaya klasik yang cukup menawan.
GPX POPZ 110 juga dilengkapi sistem kunci dengan penutup untuk tahap keselamatan yang lebih, paip ekzos bergaya klasik yang mesra alam dan patuh piawaian Euro 4, dan juga tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 4.0 liter. Untuk pasaran Malaysia, bila pula agaknya model ini akan dilancarkan, bagi menggantikan model versi karburetor?