Suzuki Malaysia umum harga jualan asas untuk Suzuki Raider R150 Fi 2022 terbaharu, di bawah RM 9k sahaja

Suzuki Malaysia hari ini dengan rasminya telah mengumumkan harga jualan asas untuk model moped Suzuki Raider R150 Fi 2022 yang ditunggu-tunggu, iaitu di bawah paras RM 9k, atau RM 8,XXX.00 sahaja. Jumlah harga yang lebih tepat bagaimanapun akan diumumkan pada hari pelancaran nanti, yang dijangka berlangsung pada Mac depan.

Suzuki Raider R150 Fi untuk pasaran Malaysia itu nanti sebenarnya merupakan sebuah model yang menjadi penerus kepada model terdahulu iaitu Suzuki Belang R150. Tidak pasti pula kenapa Suzuki Malaysia tidak lagi menggunakan nama Belang R150, namun nama Suzuki Raider R150 Fi ini sememangnya telah lama popular di rantau ASEAN.

Untuk pasaran Malaysia juga, Suzuki Raider R150 Fi 2022 terbaharu ini dijangka akan tampil dengan spesifikasi yang sama dengan versi yang ditawarkan di pasaran negara-negara lain, seperti di pasaran Thailand, Vietnam dan Filipina. Antaranya ialah kapasiti enjin 147cc (DOHC, 4-valve) dengan sistem Fuel Injection dan transmisi enam kelajuan.

Enjin berprestasi itu menghasilkan kuasa maksimum 18.5PS @ 10,000rpm dengan tork maksimum 13.8Nm @ 8,500rpm. Model moped dengan berat kering hanya 109 kg itu kemudiannya dilengkapi kapasiti tangki bahan api 4.0 liter. Sistem brek cakera depan dan belakang, fork depan teleskopik dan monoshock, melengkapkan lagi spesifikasinya.

Antara ciri-ciri menarik lain yang melengkapi Suzuki Raider R150 Fi termasuklah sistem penghidup enjin One Push Electric Starter yang memudahkan, panel meter jenis digital sepenuhnya, sistem kunci One Push Key Shutter yang lebih selamat, lampu depan LED dan ruang simpanan barangan, serta penggunaan rangka badan yang kuat dan tegar.

Bagaimanapun untuk maklumat spesifikasi dan ciri-ciri yang lebih tepat, nampaknya kita perlu menunggu sehingga ianya dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi. Untuk anda yang telah membuat keputusan muktamad untuk memiliki sebuah model moped paling laju di dalam kelasnya ini, jangan tunggu lagi, sila buat tempatan awal dengan segera.